HAMZAH (kiri) pada Pengumuman Penentuan Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2016.

Putrajaya: Ayam belanda import kembali dimasukkan dalam senarai Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Krismas 2016 selepas kali terakhir diletakkan sebagai barangan harga terkawal dua tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ayam belanda dihentikan pengimportannya selama dua tahun iaitu pada 2014 dan 2015 disebabkan isu teknikal.

“Barangan terkawal itu kemudian dibawa masuk tahun ini selepas pihaknya mendapat jaminan daripada pembekal.

“Jadi, ayam belanda import adalah antara 18 jenis barangan harga terkawal bagi borong dan runcit sepanjang musim perayaan Krismas yang bakal disambut pada 25 Disember ini,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan penentuan harga maksimum barangan harga terkawal SKHMP Krismas 2016 di sini, semalam.

Hamzah berkata, SKHMP Krismas 2016 akan mula berkuat kuasa pada 19 hingga 28 Disember ini dengan 18 jenis barangan harga terkawal dikuatkuasakan.

Menurutnya, skim itu dilaksanakan selama 10 hari iaitu enam hari sebelum perayaan dan tiga hari selepas perayaan dan ia dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Antara senarai barangan harga terkawal termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, ayam belanda import, kepak ayam, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing/biri-biri import bertulang, daging kambing/biri-biri import tanpa tulang dan daging paha kambing/biri-biri bertulang.

“Barangan lain termasuk telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, tomato dan lada benggala hijau,” katanya.

Katanya, peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain.

Hamzah berkata, pegawai penguat kuasa KPDNKK akan berada di lokasi tumpuan orang ramai di pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Dalam pada itu, katanya, SKHMP yang dilaksanakan setiap tahun mula menampakkan hasil positif apabila kes aduan berkaitan aktiviti menaikkan harga barangan semakin berkurangan.

“Kami gembira dengan hasil pelaksanaan skim berkenaan. Ini yang kami mahukan iaitu seorang peniaga yang beretika.

“Kami tidak sengaja mengeluarkan dan menetapkan harga barangan kawalan sesuka hati sebaliknya berbincang terlebih dahulu dengan pihak pembekal dan pengeluar,” katanya.

Katanya, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan.

Hamzah berkata, ia bertujuan memastikan harga yang ditentukan berpatutan dalam rantai pengedaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.

Menurutnya, penentuan itu dibuat berdasarkan maklumat harga dari pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun lalu dan setakat November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 9:30 AM