MANGSA maut di tempat kejadian akibat digilis treler.
Azma Razana Johari


Prai: Seorang lelaki maut digilis treler selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dia terjatuh di bawah kenderaan berat itu dalam kejadian di Kilometer (KM) 1.1 Jambatan Pulau Pinang arah Georgetown, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, mangsa, Mohd Redza Abdul Halim, 28, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Abdul Hamid berkata, mangsa menunggang seorang diri dari arah Prai menuju ke arah Bayan Lepas.

Beliau berkata, mangsa berasal dari Alor Setar, Kedah, menunggang motosikal Honda Wave 125 dan bekerja dalam bidang binaan.

“Ketika kejadian mangsa menunggang seorang diri sebelum motosikalnya hilang kawalan dan terbabas ke bawah treler berkenaan.

“Pemandu treler berusia 51 tahun itu tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan berkenaan menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir lima kilometer di atas jambatan dari arah Prai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 10:01 AM