SHAMILAH (tengah) di lokasi kejadian Muhammad Saiful lemas.
Safuri Kamarudin dan Sabaruddin Abd Ghani


Baling: “Anak saya selalu ke sungai ini untuk memancing bersama rakan sekolahnya namun dia tidak pernah mandi-manda di sini.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan anak saya lemas ketika mandi bersama rakannya dan dihanyutkan arus deras,” kata Kilinam Keemin, 67, bapa kepada Muhammad Saiful Aiman, 16, yang mayatnya ditemui tersangkut pada akar kayu jam 5.53 petang semalam, iaitu selepas hampir 49 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Mangsa dihanyutkan arus di Sungai Kuala Merah, Kuala Ketil, di sini, Rabu lalu, kira-kira jam 4.30 petang.

Menurut Kilinam, anak bongsu daripada lapan beradik itu belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Puteri (SMKTP) Kuala Ketil dan mempunyai hobi memancing sejak di sekolah rendah lagi.

“Saya selalu berpesan jangan mandi kerana sungai itu banyak lubuk dan berbatu serta mempunyai tunggul kayu lama yang tajam.

“Lagi pun sekarang musim hujan dengan arus kuat dan air keruh, bimbang boleh berlaku perkara yang buruk,” katanya ketika ditemui di lokasi SAR, semalam.

Kilinam dari Rizab Kampung Batu Lima, Kuala Ketil berkata, dia sekeluarga reda menerima ketentuan Allah.

Isterinya, Shamilah Shamimin, 66, berkata, Muhammad Saiful Aiman tidak menunjukkan kelainan, malah dia memang pendiam sejak kecil dengan ahli keluarga.

“Meskipun pendiam dengan keluarga tetapi dengan kawan-kawannya, dia mudah mesra dan selalu pergi memancing bersama-sama ketika cuti sekolah.

“Dia (Muhammad Saiful Aiman) beritahu untuk ke sungai pada petang kejadian itu dan saya ingat dia pergi memancing seperti kebiasaannya tetapi terkejut apabila dimaklumkan dia lemas kerana dia jarang mandi di sungai berkenaan.

“Syukur akhirnya arwah berjaya ditemui. Memang kami sedih sebab dia anak bongsu yang hormat orang tua dan ringan tulang,” katanya yang berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit operasi SAR itu.

Sementara itu, memasuki hari ketiga operasi semalam, kira-kira 88 anggota penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia, Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, polis dan penduduk kampung bersama-sama melakukan pencarian.

Selain itu, khidmat guru agama yang melakukan solat hajat turut dilakukan bagi memohon dipermudahkan operasi pencarian.

Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Mohd Hafiz Suhaimi berkata, operasi yang disambung selepas solat Jumaat diperluaskan sejauh lapan kilometer dengan menggunakan bot kayak di kawasan berbatu dan kayu serta unit anjing pengesan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 6:24 AM