Nurul Fatihah Sulaini
am@hmetro.com.my


Permaisuri: “Kami bersyukur harga getah naik dalam beberapa minggu ini tetapi tersepit kerana tidak dapat menoreh kerana musim hujan,” kata Hazma Lazim, 52.

Menurutnya, harga getah sejak dua minggu lalu mencecah hampir RM4.50 sekilogram berbanding sebelum ini sekitar RM3.

Katanya, sejak harga getah meningkat, dia hanya dapat keluar menoreh sekitar lima hari manakala pada hari lain hujan.

“Jika diikutkan kali terakhir harga tinggi seperti ini pada 2011 sebelum terus merosot selepas itu.

“Bagi orang luar mungkin ingat kami (penoreh) sudah senang bila harga getah naik sedangkan mereka tidak tahu masalah yang kami hadapi,” katanya.

Seorang lagi penoreh Badrudin Idris, 50, berkata, dia berharap kerajaan dapat menetapkan harga getah sekurang-kurangnya RM4 sekilogram.

“Kami dapat menarik nafas lega kerana harga barang sekarang ini semua melambung tinggi.

“Saya juga mempunyai tujuh anak masih bersekolah menyebabkan sukar untuk menguruskan belanja jika harga jatuh,” katanya.

Menurutnya, harga getah ditentukan dari segi kualiti susu getah beku atau getah sekerap yang jika berkualiti tinggi harganya lebih mahal.

Bagi Mohd Aidil Johari, 21, kenaikan harga getah diharap terus berkekalan.

“Kami bergantung kepada hasil menoreh bagi menampung keluarga.

“Jika harga getah sentiasa pada lingkungan RM4 hingga RM5 sekilogram, ia membantu kami mendapat pendapatan lebih stabil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 8:59 AM