PENGUNJUNG berpeluang mandi-manda dan bersantai bersama keluarga sempena cuti persekolahan.
Salman Hamat


Melaka: Pengurusan Melaka Wonderland Theme Park & Resort, di sini, menerima ratusan panggilan setiap hari sejak 9 Disember lalu daripada orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai penebusan tiket program Santai Best! yang dianjurkan esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitalitinya, Seow Cheng Swee berkata, berikutan maklum balas amat positif diterima, pihaknya menjangkakan lebih 10,000 pengunjung akan membanjiri taman tema itu untuk beriadah selain menyaksikan Konsert Santai Best! pada hari berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini, semua persiapan hampir siap dilakukan bagi menyambut kedatangan orang ramai ke taman tema itu termasuk persiapan pentas dan sistem bunyi untuk Konsert Santai Best!.

Menurutnya, konsert istimewa itu bakal menampilkan empat artis popular tanah air iaitu Ronnie Hussein, Najwa Latif, Sufian Suhaimi dan Haiza yang juga DJ Kool FM.

“Orang ramai yang mahu bersama-sama merasai kemeriahan Program Santai Best! masih boleh menebus tiket di kaunter khas disediakan di pintu masuk taman tema ini.

“Kami jangkakan sambutan kali ini lebih hebat dengan kehadiran lebih ramai berbanding penganjuran program Gempak Santai, juga dengan kerjasama akhbar Harian Metro (HM) pada 2013,” katanya.

Katanya, seramai 10,000 pembaca terawal yang menebus keratan kepala akhbar HM turut berpeluang mendapat kupon diskaun 20 peratus untuk penginapan atau makanan di Hotel RC, Melaka Bird Park, Wildlife Theatre, Bistro Year 1673 dan Melaka Wonderland.

Menerusi penganjuran program Santai Best!, Melaka Wonderland Theme Park & Resort menyediakan 30,000 tiket masuk percuma ke taman tema itu.

Pembaca hanya perlu mengumpul 10 keratan kepala akhbar HM bagi menebus satu tiket masuk percuma ke taman tema itu sepanjang tempoh promosi dari 1 hingga 31 Disember ini.

Orang ramai boleh menebus tiket di Balai Berita Kuala Lumpur selain pejabat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Selangor, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 9:39 AM