NESSI terkenang kejadian hampir meragut nyawanya.
PENDUDUK kampung membersihkan rumah.
Asrizal Aris


Kajang: “Ketika mahu menyelamatkan barang dapur, saya tenggelam dalam air, mujur anak saya sempat menyelamatkan saya,” kata Nessi Juarsi, 63, mangsa banjir kilat di Jalan Saujana, Kampung Sungai Ramal, di sini, kelmarin.

Nessi seorang daripada kira-kira 120 penduduk di Taman Ramal Desa dan Kampung Sungai Ramal Dalam yang terjejas dalam kejadian banjir kilat membabitkan 50 rumah yang dinaiki air.

Nessi berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.45 petang itu berpunca daripada hujan lebat selama dua jam tanpa henti menyebabkan air besar dari Sungai Ramal melimpah ke kawasan rumahnya.

“Seperti tsunami air banjir itu datang memasuki kawasan rumah kami sehingga tidak sempat menyelamatkan barang berharga seperti televisyen, mesin basuh dan almari melainkan menyelamatkan diri saja.

“Apabila mengenangkan barang dapur baru saja dibeli, saya turun untuk menyelamatkan beras, tetapi nyaris tenggelam apabila airnya begitu dalam. Mujur anak saya sempat selamatkan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, keluarganya dan jiran bernasib baik kerana mempunyai rumah bahagian tingkat atas untuk berlindung daripada dihanyutkan air banjir kilat.

Dia yang sudah tinggal di situ selama 13 tahun berkata, kejadian banjir kilat itu adalah kali kedua berlaku dan kali terakhir berlaku pada tahun lalu.

Penduduk, Nazariah Mutalak, 42, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama keluarga sedang menonton televisyen dan terkejut apabila air memasuki rumah dengan laju sehingga pintu rumah tercabut.

“Ketika itu semua menyelamatkan perabot dan peralatan elektrik termasuk televisyen yang sedang kami tonton. Tetapi saya tidak sempat menyelamatkan kereta saya di luar dan hanya mampu melihat kenderaan itu tenggelam.

“Air sangat laju, pakaian dan perkakasan dapur semua sudah dihanyutkan. Ketika itu kami hanya mampu berdoa agar hujan berhenti cepat,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Ramal Dalam, di sini, semalam.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, hujan lebat selama dua jam kelmarin menyebabkan air naik dengan ketinggian antara 0.3 sehingga 1 meter.

“Paras air Sungai Ramal meningkat selepas menerima taburan hujan dengan bacaan 67 milimeter yang menyebabkan air melimpah ke dalam longkang dan parit.

“Banjir kilat juga dipercayai berpunca daripada pembentung yang dibina merentasi anak sungai oleh pemilik tanah persendirian di sini yang agak rendah serta terdapat banyak sampah sarap yang tersumbat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, banjir kilat itu kembali surut beberapa jam kemudian dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bersedia dengan jangkaan kejadian yang bakal berlaku.

Keterangan Gambar

Pix : Nessi termenung mengenang kejadian yang hampir meragut nyawanya.

Pix : Nazariah melihat keretanya yang tenggelam dalam kejadian banjir kilat kelmarin.

Pix : Penduduk sedang membersihkan rumah selepas dinaiki air banjir kilat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:20 AM