PENGUNJUNG bersantai bersama keluarga masing-masing.
Zairee Mohd Yasak


Melaka: Program Santai Best! Harian Metro di Melaka Wonderland Theme Park & Resort yang berakhir kelmarin mencapai sasaran dengan hampir 30,000 pengunjung singgah bersantai di taman tema itu sepanjang dua hari berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitaliti, Seow Cheng Swee berkata, kehadiran pengunjung pada Program Santai Best! kali ini dianggap luar biasa dan amat memberangsangkan.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti disediakan pihak pengurusan taman tema itu dan Harian Metro (HM) seperti Konsert Santai Best! dan aktiviti beramah mesra bersama artis seperti Ronnie Hussein, Najwa Latif, Sufian Suhaimi dan Haiza (DJ Kool FM) menjadi tarikan utama kepada pengunjung.

“Jumlah kehadiran terutamanya semalam (kelmarin) di luar jangkaan, semua 800 lot parkir tambahan disediakan penuh pada jam 11 pagi.

“Kesulitan mendapatkan parkir itu bagaimanapun tidak membantutkan semangat pengunjung untuk menyertai dan merasakan sendiri kemeriahan Program Santai Best!. Ada antara mereka mula beratur seawal 8.30 pagi untuk mendapatkan tiket,” katanya.

Seow berkata, selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, Program Santai Best! turut dikunjungi pelbagai kaum yang mahu bersama-sama bersantai dan berhibur dengan pelbagai aktiviti menarik.

Program Santai Best! Melaka Wonderland Theme Park & Resort menyediakan 30,000 tiket masuk percuma ke taman tema itu.

Seramai 10,000 pembaca terawal yang menebus keratan kepala akhbar HM turut berpeluang mendapat kupon diskaun 20 peratus untuk penginapan atau makanan di Hotel RC, Melaka Bird Park, Wildlife Theatre, Bistro Year 1673 dan Melaka Wonderland.

Pembaca hanya perlu mengumpul 10 keratan kepala akhbar HM bagi menebus satu tiket masuk percuma ke taman tema itu sepanjang tempoh promosi iaitu pada 1 hingga 31 Disember ini.

Orang ramai boleh menebus tiket di Balai Berita Kuala Lumpur selain pejabat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Selangor, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 7:51 AM