MOHD Fahmi Hakimi Nur Haslan (kanan) bersama rakannya Muhammad Anas Adham (dua kanan) turut ditemani bapanya, Khairul Anuar mencuba kasut yang dijual.
MOHD Fahmi Hakimi Nur Haslan (kanan) bersama rakannya Muhammad Anas Adham (dua kanan) turut ditemani bapanya, Khairul Anuar mencuba kasut yang dijual.

Shah Alam: Bahang pembukaan sesi baru persekolahan semakin dirasai apabila pusat beli-belah dan kedai pakaian di sekitar bandar raya turut mula dikunjungi ibu bapa.

Walaupun pada hari biasa, tinjauan Harian Metro di dua premis di Seksyen 7 dan Seksyen 32 di sini, semalam mendapati ia masih dipenuhi pengunjung yang membeli kelengkapan sekolah.

Pengunjung, Khairul Anuar Mohd Tawil, 35, berkata, dia sudah membuat persiapan anak-anaknya terlebih awal kerana tidak mahu kelam-kabut pada saat akhir walaupun sesi persekolahan dibuka pada 3 Januari depan.

“Baju sekolah, kasut dan semua peralatan sekolah baru memang sudah dibeli sebelum ini namun apabila mengetahui ada jualan murah di kedai pakaian ini, saya berkesempatan membeli beberapa keperluan lain.

“Ia sekadar mengikut kemampuan kerana banyak diskaun diberikan dan membantu kami mendapatkan barang dengan harga lebih murah,” katanya ketika ditemui di premis itu.

Bagi Murniati Hasam Basri, 43, dia hanya menambah sepasang baju sekolah baru untuk anaknya supaya mereka lebih bersemangat pada hari pertama sesi persekolahan.

“Kebiasaannya, saya membeli sepasang pakaian sekolah baru kerana baju yang lama masih boleh dipakai.

“Baju sekolah yang baru ini juga sebagai memberi sokongan dan semangat untuk mereka memulakan sesi persekolahan,” katanya.

Menurutnya, walaupun mungkin lewat membuat persiapan kelengkapan sekolah, harga yang ditawarkan pada saat akhir jauh lebih murah dan menjimatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:25 AM
Digital NSTP Subscribe