Kulim: Penderitaan bayi Muhamad Anas Mutaqim Abdullah, 10 bulan, yang memakai topeng gas untuk pernafasan sepanjang masa mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Asmadi Abu Talib dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim selepas penderitaan bayi terbabit disiarkan Harian Metro, semalam.

Bayi terbabit yang menghidap masalah pernafasan berikutan dilahirkan tidak cukup bulan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen yang dipinjam dari Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menyokongnya bernafas akibat masalah paru-paru kerana ibu bapanya tidak mampu membeli mesin itu.

Ibunya, Nurhafizah Mohd Zin, 36, berkata, selepas penderitaan anaknya itu disiarkan media, ada beberapa pihak yang menghubungi suaminya, Muhamad Ridzal Ibrahim, 20, untuk bertanyakan khabar serta mendapat maklumat lengkap bagi membantu mereka.

“Ada pihak yang bersimpati menghubungi telefon bimbit suami melalui SMS serta aplikasi WhatsApp untuk bertanya mengenai anak saya, malah ada juga yang meminta nombor akaun bank untuk menghulurkan sedikit bantuan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana banyak membantu kami dan menyiarkan penderitaan anak kami bagi meringankan sedikit bebanan.

“Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Padang Serai serta pegawai JKM yang sudi menjenguk kami bertanyakan masalah serta meluluskan bantuan bagi meringankan sedikit bebanan serta menyelesaikan masalah yang dihadapi,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Asmadi di rumahnya di Flat Kulim Square, di sini, semalam.

Turut hadir Pegawai JKM Daerah Kulim, Mohamad Zarir Mohamad Khozali.

Sementara itu, Muhamad Zarir berkata, JKM akan memberi Bantuan Am kepada penjaga bayi itu sebanyak RM300 sebulan bermula pada Februari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:54 AM
ASMADI memegang Muhamad Anas Mutaqim sambil diperhatikan Nurhafizah (kiri) serta Muhamad Ridzal.
ASMADI memegang Muhamad Anas Mutaqim sambil diperhatikan Nurhafizah (kiri) serta Muhamad Ridzal.