X
Hasadid melawat kawasan tanah runtuh di Rumah Peranginan TNB Sharples, Tanah Rata.
Hasadid melawat kawasan tanah runtuh di Rumah Peranginan TNB Sharples, Tanah Rata.

Cameron Highlands: Orang ramai yang ingin berkunjung ke Pusat Peranginan Cameron Highlands tidak perlu khuatir kerana keseluruhan kawasan itu disahkan selamat dan kejadian tanah runtuh Ahad lalu disebabkan taburan hujan tinggi dan bukan berpunca daripada pencerobohan tanah.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid berkata, siasatan dimulakan pihaknya bersama Jawatankuasa Bencana Daerah serta agensi keselamatan lain mendapati tidak berlaku sebarang pencerobohan tanah di empat lokasi kejadian tanah runtuh itu.

Menurutnya, taburan hujan tinggi serta luar biasa pada hari kejadian di daerah itu menyebabkan berlakunya pergerakan cerun, sekali gus mengakibatkan berlakunya runtuhan tanah di empat lokasi berkenaan.

Katanya, empat lokasi terbabit di Tanah Rata itu ialah di Rumah Peranginan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sharples, kilometer 55 Jalan Tapah-Tanah Rata berhampiran Bharat Tea, kilometer 59 Jalan Tapah-Tanah Rata dan Jalan Perdah.

“Memang tidak berlaku pencerobohan tanah di lokasi terbabit dan di rumah peranginan TNB Sharples yang paling teruk terjejas pun tidak membabitkan sebarang aktiviti haram.

“Apa yang berlaku pada hari kejadian ialah hujan luar biasa.

“Rekod dicatatkan Pejabat Meteorologi Tanah Rata menunjukkan kadar curahan hujan keseluruhan adalah 100.9 milimeter, manakala antara jam 2 hingga 3 petang kadar curahan sebanyak 52.66 milimeter melebihi tahap normal iaitu 20 milimeter,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian di Rumah Peranginan TNB Sharples, di sini, semalam.

Menurutnya, laporan penuh siasatan itu dijangka mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan kerana membabitkan pelbagai pihak, agensi serta pakar sebelum rumusan daripada siasatan itu dilakukan.

Hasadid mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial sehingga mengakibatkan ia tular, sekali gus memberikan imej buruk kepada pusat peranginan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 9:27 AM