MANGSA maut dalam nahas di Kilometer 21.5, LDP.

Serdang: Seorang lelaki maut tercampak sejurus motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 21.5, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), di sini.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi semalam, mangsa, T Logindran, 43, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Mohd Alias berkata, mangsa dikatakan menunggang sendirian motosikal Honda EX5 dari arah Sunway menghala ke Putrajaya.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar tembok konkrit di bahu jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala kerana didapati tidak memakai topi keledar. Setakat ini tiada saksi yang melihat kejadian berlaku.

“Mayat mangsa yang beralamat di Desa Petaling, Kuala Lumpur itu dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 7:57 AM