Keadaan ombak besar menyebabkan hakisan teruk.
Penduduk dalam keadaan berjaga-jaga berikutan ombak besar yang menyebabkan hakisan teruk di Kampung Kolam, Mengabang Telipot.


Kuala Nerus: Penduduk di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, di sini, menggesa kerajaan negeri mengambil langkah segera mengelak hakisan lebih teruk berlaku di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, penduduk berharap langkah yang bakal diambil kerajaan negeri tidak membabitkan lambakan batu sebagai benteng pemecah ombak di kawasan berkenaan kerana kawasan itu satu-satunya tempat pendaratan ikan bagi nelayan yang tinggal di kawasan itu.

Nelayan, Abdullah Abd Ghani, 59, berharap kerajaan dan agensi berkaitan berbincang dengan penduduk kampung bagi mencari kaedah terbaik bagi mengelak hakisan terus berlaku di pantai berkenaan.

“Hanya di sini sahaja tempat kami mendarat dan menjual hasil tangkapan. Kalau dibina benteng pemecah ombak, bagaimana kami nak mendarat dan ia akan menjejaskan aktiviti harian kami,” katanya.

Menurutnya, langkah membina benteng pemecah ombak tidak berkesudahan kerana ia akan membabitkan hakisan di kawasan lain.

“Tahun lalu, hakisan akibat ombak besar berlaku di Kampung Tanjung Gelam dan selepas benteng pemecah ombak dibina di kawasan itu, tahun ini pantai kampung kami pula yang menjadi mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Adam A Rahman berkata, kehadiran orang ramai di kawasan pantai yang mengalami hakisan dan ombak besar dibimbangi mengundang kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan agensi keselamatan termasuk polis bagi membuat kawalan di kawasan berkenaan.

“Kawalan di kawasan berkenaan perlu dilakukan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Kehadiran orang ramai seperti satu pesta di kawasan itu memerlukan kawalan ketat dilakukan,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan RM1.2 juta bagi menyelesaikan segera masalah hakisan di Pantai Tanjung Gelam.

Menurutnya, peruntukan itu meliputi kos penambakan pantai dan pembinaan pulau jadian bagi membantu menangani masalah hakisan itu.

Caption

KEADAAN di kawasan Kampung Tanjung Gelam

ABDULLAH harap kerajaan negeri mengambil langkah segera mengatasi masalah hakisan pantai

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 6:19 AM