NOR Syahirah menyiram pusara Muhammad Farhan yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, malam kelmarin.
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: “Saya akan merindui setiap mesej yang dihantar melalui aplikasi sembang Telegram kerana sejak mengenalinya pada 2014, kami hanya pernah berjumpa empat kali, malah tidak pernah berbual di telefon sebaliknya hanya kiriman mesej menjadi penghubung kami,” kata Nor Syahirah Abu Bakar, 23, tunang kepada rakyat Malaysia yang ditemui lemas di Australia, Muhammad Farhan Na’imullah Zubir.

Nor Syahirah berkata, Allahyarham Muhammad Farhan bertambah kerap menghantar kiriman mesej sejak mereka mengikat tali pertunangan, September lalu.

Katanya, sejak mengenali Allahyarham Muhammad Farhan pada 2014 ketika menyertai Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi, mereka hanya pernah bertemu hanya tiga hingga empat kali, namun bukanlah dalam tempoh yang lama.

“Kali terakhir saya nampak arwah pada Ogos 2015, itu pun hanya saya yang nampak dia.

“Saya tahu dia pergi ke Australia pada Januari lalu. Namun, dia beritahu saya dia mahu menimba pengalaman bekerja di negara orang selain mengumpul wang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Penuntut tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam itu berkata, pada Ramadan lalu, Allahyarham Muhammad Farhan memberitahu akan menghantar keluarganya masuk meminang sebelum mereka bertunang pada September lalu ketika lelaki itu masih di Australia.

“Arwah cadang untuk kami mendirikan rumah tangga pada September atau Oktober 2017 kerana mahu saya tamatkan pengajian terlebih dahulu iaitu pada Januari ini.

“Dia berseloroh katanya apabila dia balik nanti, dia mahu terus kahwin,” katanya.

Nor Syahirah ketika ditemui pada majlis pengebumian Allahyarham Muhammad Farhan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, malam kelmarin, nyata kelihatan sedih dan mengalirkan air mata tatkala mengingatkan pesanan terakhir arwah tunangnya.

“Pesanan terakhir arwah sebelum dia ke sungai itu, dia kata dia maafkan semua salah dan silap saya. Dia minta saya bersabar banyak-banyak,” katanya ketika ditemui malam itu.

Nor Syahirah yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata, Allahyarham tunangnya itu lebih rapat dan kerap menghubungi ibunya.

“Arwah sangat peramah dengan orang tua. Dia kerap hubungi ibu saya.

“Saya rindukan dia, tetapi saya reda dengan pemergian arwah,” katanya.

Allahyarham Muhammad Farhan, 26, ditemui lemas di Sungai Ovens, Myrtleford, Australia dalam kejadian jam 8 malam (waktu Australia) pada 13 Disember lalu selepas dia yang merantau sejak setahun lalu ke negara berkenaan sebagai pemetik buah di Farm Buffalo River Road lemas berhampiran Nimmo Bridge.

Selepas 16 hari, jenazah Allahyarham Muhammad Farhan selamat dikebumikan jam 7.50 malam kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 6:24 AM