DARI kiri, Chang Loon, Mohamad Fitri dan Wui Chung diiringi anggota polis di Mahkamah Tinggi Miri.
Mohd Rizal Abdullah

Miri: Mahkamah Tinggi, di sini, menetapkan hari ini bagi sebutan semula kes membabitkan tertuduh dalam kes pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Bill Kayong pada 21 Jun lalu.

Tertuduh yang bakal menghadapi perbicaraan itu termasuk seorang ahli perniagaan Datuk Lee Chee Kiang, 45, atau dikenali sebagai Datuk Stephen Lee.

Sebutan semula hari ini turut membabitkan tiga tertuduh lain iaitu Mohd Fitri Pauzi, 29, Lie Chang Loon, 37, dan Ching Wui Chung, 50.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Miri, Dr Alwi Abdul Wahab menetapkan sebutan semula hari ini bagi membolehkan pertuduhan dilakukan serentak terhadap keempat-empat tertuduh.

Keputusan itu dilakukan selepas menerima permohonan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzila Ishak yang meminta semua tertuduh dibicarakan secara bersama.

Mohamad Fitri dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Bill pada jam 8.20 pagi di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya E-Mart, Jalan Miri-Kuala Baram pada 21 Jun lalu.

Tiga tertuduh lain dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama kerana bersubahat bersama Mohamad Fitri ketika kejadian.

Bill atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah mati ditembak dengan senapang patah dalam kenderaan yang dinaikinya.

Polis masih memburu seorang lagi suspek berusia 35 tahun iaitu pengusaha sebuah pusat karaoke yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 9:18 AM