SEBAHAGIAN daripada pelarian Rohingya meminta sedekah di sepanjang jalan ke Pelabuhan Darat Teknaf.
Tuan Asri Tuan Hussein

Teknaf (Bangladesh): Ketua misi bantuan Muslim Care Society Malaysia (Muslim Care) untuk pelarian Rohingya di sini, Johari Ismail menyifatkan jalan sepanjang kira-kira 30 kilometer (km) dari Kutupalong ke Pelabuhan Darat Teknaf yang dilaluinya semalam sebagai laluan air mata.

Ungkapan spontan itu terpacul daripada mulutnya selepas terserempak dengan pemandangan menyayat hati iaitu puluhan kumpulan kecil pelarian Rohingya yang duduk dan baring di kiri dan kanan jalan raya.

Mereka yang kebanyakan wanita, kanak-kanak dan bayi membabitkan empat hingga 10 orang dalam satu kumpulan, berada di situ untuk mengharapkan simpati pengguna jalan raya di laluan berkenaan.

“Kami melalui laluan itu untuk ke Pelabuhan Darat Teknaf dari Cox’s Bazar dan tidak menyangka akan melihat pemandangan sebegitu kerana beranggapan pelarian tinggal di dalam kem atau penempatan khas.

“Keadaan mereka amat menyedihkan dengan pakaian lusuh dan compang-camping serta wajah yang cengkung tanda kurang zat makanan. Paling menyedihkan apabila melihat bayi seawal usia tiga atau empat bulan serta kanak-kanak baring di atas tanah dan ada yang tidak berpakaian,” kata Johari kepada wakil Harian Metro yang turut menyertai misi itu.

Menurutnya, pemandu dan penunjuk arah kemudian memaklumkan pelarian Rohingya terbabit kebanyakannya tinggal di khemah yang didirikan di dalam hutan di tepi laluan berkenaan.

Mereka akan keluar dan berada di tepi jalan pada siang hari untuk ‘mencari makan’ dan nasib mereka bergantung sepenuhnya kepada pengguna laluan berkenaan, selain penduduk tempatan di kampung berhampiran.

Johari berkata, apa yang mengecewakan pihaknya tidak berkesempatan memberi sumbangan kepada pelarian terbabit kerana perbuatan itu tidak dibenarkan anggota pasukan tentera Bangladesh yang berkawal dan membuat rondaan di kawasan itu.

“Apapun, kami berharap perasaan bersalah (kerana tidak memberi bantuan) ini terubat apabila kami masuk ke dalam Kem Kutupalong esok (hari ini) untuk memberi sumbangan,” katanya.

Pada masa sama, kata Johari, pihaknya masih membuka ruang dan mengalu-alukan rakyat Malaysia memberi sumbangan untuk membantu pelarian Rohingya melalui Muslim Care.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank (5644-9041-3882) atau Bank Islam (140-140101-4740) atau Bank Muamalat (14-0100-0765-4717).

Maklumkan sumbangan anda dengan menghantar mesej pesanan ringkas atau WhatsApp kepada Johari di talian 0169978323 atau Zakaria Abd Latiff (0126935938).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 9:42 AM