KEADAAN dibahgian luar sekolah.
WAKIL NGO melihat sekolah kanak-kanak Rohingya.
ANTARA kanak-kanak pelarian Rohingya yang menerima pendidikan hasil bantuan NGO.
Kanak-kanak pelarian Rohingya menerima pendidikan secara percuma di Sekolah Kutupalong.
Tuan Asri Tuan Hussein

Teknaf (Bangladesh): Di sebalik kehidupan yang daif dan serba kekurangan, aspek pendidikan tidak diabaikan di Kem Kutupalong yang dihuni lebih 50,000 pelarian Rohingya di sini.

Walaupun hanya tanah dijadikan dinding dan berbumbungkan lembaran plastik, 45 sekolah didirikan di dalam kem itu untuk memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 kanak-kanak.

Jangan bayangkan sekolah itu seperti sekolah di Malaysia kerana ia sebenarnya cuma bilik darjah kecil dengan keluasan 4 x 6 meter, tanpa meja, kerusi dan lantainya separuh simen, separuh tanah.

Aktivis hak asasi manusia, Mohamed Taher yang mengasas dan menguruskan sekolah itu sejak 13 tahun lalu berkata, kos operasi diperoleh pihaknya hasil sumbangan individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, selain 45 sekolah di dalam Kem Kutupalong, pihaknya turut menubuhkan empat sekolah untuk anak pelarian Rohingya di Chittagong dengan jumlah murid seramai 240 orang.

“Ada 49 guru mengajar di 49 sekolah terbabit iaitu satu guru untuk satu sekolah. Guru yang juga remaja pelarian Rohingya ini akan bergilir-gilir mengajar dari satu sekolah ke sekolah lain.

“Semua sekolah beroperasi dua sesi iaitu pagi dan petang dengan setiap sesi mempunyai 30 hingga 40 murid berusia antara enam hingga 11 tahun,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Taher berkata, antara subjek yang diajar ialah Matematik, Bahasa Inggeris, Agama Islam dan Bahasa Bangladesh.

Taher sebelum itu mengadakan perbincangan dengan wakil Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) yang memberi sumbangan kepada 1,000 penghuni Kem Kutupalong dan bercadang menyumbangkan dana secara berterusan untuk pendidikan anak-anak pelarian Rohingya.

Timbalan Presiden Muslim Care, Johari Ismail berkata, aspek pendidikan antara fokus utama pertubuhan itu dalam menjalankan aktiviti kebajikan di dalam dan luar negara.

Sebagai contoh, katanya, pada masa ini Muslim Care menaja kos operasi lima sekolah untuk anak-anak Syria di Rayhanli, Turki yang menyediakan pendidikan kepada kira-kira 1,500 murid.

“Apa yang kami lakukan untuk anak pelarian Syria di Turki boleh juga kami laksanakan untuk kebaikan anak pelarian Rohingya di Bangladesh.

“Taher dan sukarelawan di Bangladesh sudah menyediakan asas pendidikan yang perlu untuk anak pelarian Rohingya.

Muslim Care berminat memperkemaskan lagi usaha itu dengan kepakaran serta pengalaman yang kami ada,” katanya.

Johari berkata, untuk merealisasikan perancangan itu, pihaknya masih mengalu-alukan rakyat Malaysia memberi sumbangan kepada pelarian Rohingya melalui Muslim Care.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank (5644-9041-3882) atau Bank Islam (140-140101-4740) atau Bank Muamalat (14-0100-0765-4717).

Maklumkan sumbangan anda dengan menghantar mesej pesanan ringkas atau WhatsApp kepada Johari di talian 016-9978323 atau kepada Zakaria Abd Latiff (012-6935938).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 10:17 AM