ABDUL Ghafar (dua dari kiri) menunjukkan kereta yang yang disita.
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Pemantauan dan risikan polis ke atas seorang lelaki sejak seminggu lalu akhirnya berjaya membongkar kegiatan pengedaran dadah bernilai lebih RM1.5 juta di Gelugor, kelmarin.

Dalam serbuan jam 2 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menahan suspek berusia 41 tahun di tepi jalan sewaktu dia dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, berdasarkan pemeriksaan awal, suspek yang bekerja sebagai jurujual kereta itu ditahan ketika membawa sebuah beg pakaian sambil berjalan kaki seorang diri dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, ketika ditahan pihaknya menemui pelbagai jenis dadah termasuk syabu, Eramin 5 dan ekstasi yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta di dalam beg berkenaan dan suspek kemudian ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut menemui tujuh ketulan mampat foil aluminium yang dibalut dengan plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 7,254 gram, tiga bungkusan dadah berisi 15,000 biji pil Eramin 5 dan empat bungkusan dadah berisi 20,000 biji pil ekstasi.

“Semua barangan yang ditemui itu dirampas dan suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut sehingga 12 Januari ini. Polis turut menyita dua kereta BMW dan sebuah Honda Accord, wang tunai serta barang kemas bernilai RM768,120,” katanya.

Beliau berkata demikian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Roslee Chik, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah dan Ketua JSJN negeri, Superintendan Maidu Abu Bakar.

Abdul Ghafar berkata, suspek dipercayai mempunyai beberapa rangkaian lain dan sudah beroperasi sejak lebih tiga bulan lalu manakala hasil risikan mendapati suspek juga mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing juga didapati positif dadah selain bekalan dadah diperoleh dari negara jiran untuk dijual dalam pasaran tempatan, sekali gus berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti kegiatan sebenar suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

“Kita akan memburu saki-baki rakan suspek termasuk melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah ini daripada terus berleluasa di negeri ini selain meminta kerjasama orang ramai menghulurkan sebarang maklumat,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi JSJN di talian 04-2221522 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:18 AM