SEBAHAGIAN ganja dan wang tunai yang dirampas daripada suspek.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Hasrat pasangan tunang mahu melangsungkan perkahwinan punah apabila kedua-dua mereka sebaliknya bakal berdepan hukuman gantung sampai mati atas jenayah memiliki dadah.

Pasangan itu ditahan polis bersama pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM182,790 dalam serbuan di sebuah apartmen di Jalan Sultan Ismail, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 9.45 pagi itu, pasangan berusia 24 dan 34 tahun terbabit ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata, pemeriksaan di premis terbabit menemui 12 ikat pil Eramin 5 berjumlah 3,000 biji, dua plastik lutsinar disyaki syabu seberat 368 gram, 2 paket plastik disyaki heroin (6 gram), satu paket ketamin (4 gram) dan lapan biji pil kuda (2 gram).

Katanya, siasatan lanjut terhadap suspek lelaki membawa kepada penemuan sebuah kereta model Proton Satria di bangunan itu.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu menemui tiga beg plastik mengandungi 57 ketulan mampat ganja mempunyai gambar logo artis Bob Marley seberat 55,786 gram.

“Hasil soal siasat lanjut, pihak polis membuat serbuan dan tangkapan terhadap rakan suspek iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun di kawasan apartmen sama, kira-kira jam 9.30 malam.

“Pemeriksaan terhadap suspek tidak menemui barang salah tetapi semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai enam rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis menyita wang tunai dan harta tiga suspek itu dianggarkan berjumlah RM30,156,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Hamid berkata, hasil tangkapan itu pihaknya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah oleh warga tempatan yang bergiat aktif sejak tiga bulan lalu di sekitar Ibu Kota.

Katanya, pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian mereka yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan punca dadah itu diperolehi.

“Kesemua suspek direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Seksyen 3B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:35 AM