Keadaan rumah Asurah selepas roboh di Kampung Lupak Meluas Laut, Sandakan.
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Seorang ibu tunggal buntu selepas rumah atas air Projek Perumahan Rakyat (PPR) didiaminya di Kampung Lupak Meluas Laut di sini, runtuh ke laut, jam 2 petang Khamis lalu.

Kejadian itu menyebabkan Asurah Abd Sali, 47, hilang tempat tinggal dan turut kerugian apabila barangan rumah itu turut tenggelam.

Katanya, sebelum kejadian, dia berada di kampung bersebelahan dan dihubungi jiran memaklumkan kejadian itu.

“Saya bergegas pulang dan apabila tiba, rumah sudah senget. Saya tidak berani masuk dan kurang lima minit kemudian, rumah kami runtuh dan tenggelam.

“Walaupun sedih, saya bersyukur kerana ketika kejadian, saya dan tiga anak berusia lima tahun hingga 13 tahun tiada di kediaman,” katanya.

Menurut Asurah, dia juga risaukan kelengkapan persekolahan anak termasuk buku teks yang rosak akibat terendam air masin.

“Bukan itu saja, barangan elektrik seperti televisyen serta kipas tidak boleh digunakan lagi. Kami bingung kerana tiada tempat tinggal.

“Buat sementara, kami menumpang di rumah jiran. Hendak mencari rumah sewa juga pasti sukar kerana saya tidak bekerja,” katanya.

Menurut Asurah, sebelum ini ada pemimpin tempatan datang menemuinya namun dia belum dimaklumkan tentang bantuan yang akan disalurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:09 AM