HARGA ikan meningkat sejak minggu lalu.

Kuala Lumpur: “Peniaga bukan manipulasi harga atau sengaja mahu mengaut keuntungan lebih kerana hakikatnya kami pun tersepit dengan kenaikan harga bekalan.

“Pembekal menaikkan harga bekalan dan biasanya dalam setiap kilogram ikan yang dijual, kami hanya memperoleh untung kurang dari RM1 saja,” luah peniaga ikan di Pasar Chow Kit yang mahu dikenali sebagai Pak Abu.

Menurut Pak Abu, peniaga terkilan kerana mereka dianggap sengaja menaikkan harga ikan sedangkan harga ditentukan oleh bekalan yang diperoleh.

Dia berkata, jika harga yang diperoleh murah, maka peniaga menjualnya kepada orang ramai pada harga lebih berpatutan.

Katanya, bekalan ikan mula berkurangan sejak sebulan lalu iaitu ketika musim tengkujuh melanda Pantai Timur, namun ia semakin ketara sejak awal bulan ini.

“Ikan kembung contohnya ketika bekalan banyak sebelum ini harganya sekitar RM12 saja sekilogram, tetapi sekarang bekalan terhad menyebabkan harga melonjak sehingga RM19 sekilo.

“Dengan harga semahal itu memang ikan susah untuk dijual, tetapi kami tiada pilihan kerana jika tidak, modal pun tidak lepas,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Chow Kit pagi semalam mendapati harga ikan seperti kembung, selar, tenggiri, kerisi, selar kuning mahu pun cencaru masih tidak berubah berbanding awal minggu lalu.

Ikan kembung masih lagi dijual antara RM16 hingga RM18 sekilo, selar turut meningkat iaitu RM16 berbanding hanya RM10 sebelum ini.

Ikan kerisi dijual antara RM12 hingga RM14, selar kuning saiz kecil (RM10), cencaru (RM9) sardin (RM8) manakala ikan tenggiri turun seringgit iaitu RM39 berbanding RM40 pada awal bulan lalu.

Sementara itu, di Pasar Borong Selayang, harga ikan kembung masih dijual pada harga sekitar RM16 hingga RM19 namun ada juga peniaga yang menjual di bawah harga itu untuk ikan sejuk beku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:22 AM