Hasinar (empat dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam
Hasinar (empat dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam
Fardy Bungga


Kuala Lumpur: “Sudah tujuh hari ibu saya dan ratusan jemaah lain terkandas di Tanah Suci selepas mengerjakan umrah. Ejen yang menawarkan pakej umrah separuh harga itu lepas tangan,” ujar Hasinar Zainuddin, 34.

Dia berkata, ibunya, Mariam Beevi Syed Daud, 58, dan bapa saudara, Mohd Musthapa Mohd Hanafiah, 59, berlepas ke Makkah mengikuti rombongan itu pada 23 Disember lalu.

“Mereka sepatutnya kembali ke tanah air pada 2 Januari lalu. Malangnya, kami masih belum menerima kata putus terhadap nasib mereka.

“Saya sangat kecewa dengan pengurusan ejen umrah yang gagal menepati jadual ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila seorang lagi ahli keluarganya dilaporkan sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital di Tanah Suci.

“Mengikut jadual diberikan, mereka sepatutnya pulang Isnin lalu namun kami diberitahu ada kesilapan teknikal dan mereka tidak boleh pulang ke Malaysia.

“Hari demi hari, mereka (ejen umrah) memberikan alasan sama. Maklumat terakhir yang kami terima, mereka akan pulang pada jam 11 malam (waktu tempatan) semalam dan dijadualkan sampai ke Malaysia tengah hari esok (hari ini),” katanya.

Hasinar berkata, cubaan mereka menghubungi ejen gagal mendapat jawapan memuaskan.

“Kami risau dengan keadaan kesihatan ahli keluarga kami. Kami berharap mereka dapat dibantu sehingga selamat pulang ke tanah air,” katanya.

Menurut Hasinar, pakej umrah yang ditawarkan itu berharga RM6,500 namun mereka hanya perlu membayar RM3,500 manakala selebihnya didakwa ditanggung individu tidak dikenali.

“Pihak ejen memberitahu, seorang hamba Allah bermurah hati menyumbang RM3,000 kepada jemaah umrah.

“Apa yang saya tahu rombongan umrah itu membabitkan kira-kira 280 individu dan semuanya ditaja orang yang sama,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay merayu mana-mana pihak supaya membantu jemaah umrah berkenaan kembali ke tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:28 AM