PERALATAN pecah premis perniagaan dirampas selepas penahanan suspek.
Norizuan Shamsuddin


Petaling Jaya: Seorang ‘pakar’ pecah rumah tergamam apabila ditahan polis ketika sedang melepak di sebuah kafe.

Suspek yang berusia 30 tahun itu, menjadi buruan polis selepas terbabit beberapa siri pecah premis perniagaan di sekitar daerah ini.

Bagaimanapun, kecekapan polis berjaya mengesan dan menahan suspek menerusi satu serbuan di sebuah kafe di Jalan Suakasih, Cheras, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 9.45 malam selepas gerakan memburu dan mengesan dilancarkan.

Katanya, tangkapan dilakukan susulan lima laporan polis diterima dari 4 hingga 9 Januari lalu membabitkan kejadian pecah rumah dan premis perniagaan di sekitar Dataran Sunway, Nexis Sunway dan Jalan PJU 6A, di sini.

“Hasil soal siasat dilakukan, suspek membawa polis ke sebuah pangsapuri di Jalan Sutera Utama, Cheras dan polis merampas sebuah kereta Perodua MyVi yang disewa, peralatan pecah rumah, pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba dan peralatan elektronik.

“Suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah, curi dan menceroboh,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 10:20 AM