Razain menunjukkan batu nisan dipercayai bercirikan Pagar Ruyung ditemuinya.
Razain menunjukkan batu nisan dipercayai bercirikan Pagar Ruyung ditemuinya.
Khairunisah Lokman

Jasin: Dua kubur, masing-masing kubur dewasa dan bayi yang batu nisannya dipercayai bercirikan Pagar Ruyung ditemui di kawasan kubur lama di Chohong di sini, bulan lalu.

Penjaga kubur lama itu, Razain Abd Rashid, 36, menemui dua kubur terbabit ketika membersihkan kawasan berkenaan.

“Ia menjadikan keseluruhan kubur lama di sini ialah 110. Batu nisannya tajam dan berbentuk segi tiga, saya memaklumkan penemuan itu kepada pihak yang melakukan kajian di sini dan mereka memberitahu ia mungkin nisan Pagar Ruyung.

“Pagi semalam (kelmarin), ketika membersihkan kawasan kubur ini, saya menemui bekas yang digunakan membakar bara atau setanggi yang kerap digunakan orang Melayu dulu-dulu,” katanya.

Razain yakin menemui lebih banyak kubur lama lengkap dengan pelbagai bentuk batu nisan jika dia terus melakukan kerja pembersihan.

Menurutnya, penemuan pelbagai batu nisan unik di kawasan berkenaan sebelum ini mendapat perhatian masyarakat luar termasuk dari Singapura yang datang untuk melihat sendiri batu nisan terbabit.

Pada masa sama, katanya, ada individu yang mengaku waris atau keturunan kepada si mati yang dikebumikan di kubur berkenaan.

“Kami percaya kawasan ini penempatan masyarakat Melayu lama era Kesultanan Melayu Melaka. Mereka termasuk berkemungkinan pemimpin atau rajanya turut dikebumikan di sini.

“Beberapa bulan lalu, saya bermimpi didatangi orang tua berjubah putih, berserban serta bertongkat hitam yang mewakili raja mereka iaitu pemilik kubur berbatu nisan berbalut kain kuning.

“Difahamkan, ia kubur Raja Suran Demang Lebar Daun,” katanya.

Menurut Razain, dia tidak menghalang orang ramai melawat kawasan kubur lama berkenaan asalkan tidak melakukan perkara syirik.

Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Khamis Abas berkata, kajian yang dijalankan agensi dan jabatan di kawasan kubur lama itu dihentikan sementara waktu bagi menunggu peruntukan kerajaan.

Beliau berkata, kajian lebih mendalam seperti aspek arkeologi akan dijalankan di kawasan kubur itu bagi mendapatkan maklumat lanjut asal-usulnya.

“Diharapkan hasil kajian merungkai misteri perkuburan lama ini sekali gus mengenal pasti identiti si mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 10:48 AM