MD Din (tengah) melihat timbangan berat getah beku di Kampung Ramuan Cina Kecil, Lubok Cina, semalam.


Alor Gajah: Harga getah beku RM4.35 sekilogram semalam, kurang 15 sen berbanding RM4.50 sekilogram dicatatkan pada 14 Disember lalu, tetap menceriakan penoreh di daerah ini.

Peningkatan harga itu mendorong lebih ramai penoreh kembali mengusahakan kebun masing-masing selepas berehat panjang berikutan menganggap pendapatan diperoleh tidak berbaloi kerana harga komoditi berkenaan rendah.

Penoreh, Md Din Yusoff, 65, berkata, dia kembali menoreh sejak dua bulan lalu selepas berehat panjang berikutan harga komoditi itu merudum sejak 2012.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana memberi rezeki lebih tahun ini. Saya harap harga terus meningkat sehingga RM7 sekilogram seperti yang direkodkan pada 2010.

“Selepas menoreh empat hari, saya dapat mengumpul 108 kilogram getah beku dan memperoleh pendapatan RM470,” katanya yang ditemui ketika menjual getah di Kampung Ramuan Cina Kecil, Lubok Cina di sini, semalam.

Bapa kepada sembilan anak berusia 18 tahun hingga 42 tahun itu berkata, hasil jualan itu dibahagikan dengan pemilik kebun getah dengan nisbah 60:40.

Katanya, akibat kurangnya minat penoreh tempatan mengusahakan kebun getah, berikutan kemerosotan harga komoditi itu pada 2012 menyebabkan pemilik kebun mengupah warga asing.

Namun, pekerja terbabit juga tidak bertahan lama dan pulang ke negara asal selepas harga komoditi itu terus merudum ke paras RM1.80 sekilogram tahun lalu.

“Sepanjang berehat, saya melakukan pekerjaan lain seperti menangkap ikan di Sungai Rembau namun faktor usia membataskan saya untuk melakukan dua kerja dalam satu masa.

“Saya yakin harga getah boleh melonjak lagi kerana permintaan terhadap komoditi itu tinggi di pasaran antarabangsa,” katanya.

Kelmarin, pasaran getah Malaysia dilaporkan terus meningkat apabila ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun berikutan prestasi pasaran hadapan komoditi itu di Tokyo, selain kenaikan harga minyak mentah utama.

Pasaran hadapan di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) yang juga penanda aras, mencecah paras tertinggi dalam tempoh hampir empat minggu susulan kebimbangan penggiat pasaran mengenai kemungkinan bekalan terjejas akibat banjir di kawasan pengeluaran getah di Thailand.

Pada tengah hari kelmarin, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi gred tayar SMR20 meningkat 26.5 sen kepada 956.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik lima sen kepada 656.5 sen sekilogram.

Sementara itu, jam 5 petang kelmarin, harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR20 naik 17.5 sen kepada 969.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat enam sen kepada 659 sen sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:39 AM