KERETA curi yang dirampas daripada dua suspek.
Norizuan Shamsuddin


Subang Jaya:Selepas empat bulan bersembunyi, dua lelaki yang dipercayai aktif melakukan kegiatan curi kenderaan ditahan dalam serbuan di hadapan sebuah kedai serbaneka Taman Puchong Permai, 7 Januari lalu.

Dalam serbuan jam 5 pagi itu, suspek berusia 27 dan 32 tahun terbabit ditahan hasil intipan polis selepas menerima laporan berhubung kehilangan kereta Proton Iswara milik seorang lelaki di Taman Puchong Intan pada 7 September lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, risikan dilakukan pihaknya berjaya mengesan kenderaan Honda Civic dinaiki empat lelaki yang diparkir di hadapan kedai serbaneka berkenaan.

“Serbuan polis berjaya menahan dua lelaki terbabit dan semakan mendapati seorang daripada mereka memiliki rekod dikehendaki bersabit kes dadah.

“Hasil tangkapan kedua-duanya, polis merampas sebuah kereta jenis Honda Civic, lima telefon bimbit, serangkai anak kunci, satu kotak mengandungi kunci yang diubahsuai dan peralatan dipercayai untuk memecah kereta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 4:49 AM