Anggota bomba dan orang awam membantu menaikkan mangsa yang cedera selepas motosikal dinaiki mereka terjunam ke dalam longkang besar di Serdang Jaya, petang semalam.
myMetro

Serdang: Cemas dikejar anjing dipercayai menjadi punca dua penuntut wanita berusia 20-an cedera sejurus motosikal ditunggang terbabas sebelum menjunam jatuh ke dalam longkang besar.

Dalam kejadian jam 2.14 petang semalam, mangsa, Adila Abdul Azizi, 22, dan Nur Nazifah Jamri, 20, menunggang motosikal di Jalan 3/2, Lorong 3/15 Serdang Jaya, di sini.

Difahamkan, seekor anjing liar yang berkeliaran di kawasan itu mengejar motosikal mangsa menyebabkan mereka panik dan terbabas ke dalam longkang sedalam lebih tiga meter itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, kedua-dua mangsa penuntut di Institut Profesional Baitulmal di Seri Kembangan, di sini.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu menaikkan kedua-dua mangsa.

“Mangsa cedera serius di muka dan anggota badan. Mereka dibawa naik ke tebing longkang itu menggunakan alat pengusung sebelum dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:44 AM