ABDUL Rohim (kiri) bersama abangnya Abdul Shukur yang hilang.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

ala Lumpur: “Saya tidak pasti dua anak saya itu menjadi mangsa culik atau sebaliknya. Namun tempoh kehilangan mereka sejak sembilan hari lalu sangat membimbangkan,” kata Abdul Salam Nur Salam, 33, bapa kepada dua beradik yang hilang bersama seorang rakan mereka.

Dia berkata, dua anaknya, Abdul Rohim, 9, dan Abdul Shukur, 11, hilang bersama seorang lagi rakan mereka, Abu khayas Abu Yusuff, 12, yang tinggal berdekatan rumahnya di Taman Wilayah, Selayang, di sini.

Menurutnya, kehilangan anak kedua dan ketiga daripada lima beradik itu disedari apabila mereka tidak pulang ke rumah selepas memaklumkan mahu keluar bermain di taman berdekatan 8 Januari lalu.

“Walaupun sakit saya tetap gagahkan semangat untuk keluar mencari dua anak yang hilang kerana bimbang keselamatan mereka,” katanya.

Dia yang menghidap batu karang dan gout berkata, susulan kehilangan anak kedua dan ketiganya itu dia kerap keluar mencari mereka di merata tempat.

“Sehingga kini, mereka gagal dikesan walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk membuat laporan polis dan keluar mencari mereka sendiri.

“Namun, kami tidak pasti sama ada dia diculik atau sebagainya kerana tiada yang meminta tebusan atau sebagainya,” katanya pada wartawan Harian Metro ketika ditemui di kediamannya di Taman Wilayah, Selayang, di sini, semalam.

Salam yang memegang kad Pesuruhjaya Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) warga Myanmar berkata, dia tidak menyangka dua anaknya hilang selepas mereka sekeluarga menyelamatkan diri daripada keganasan di negara asal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 10:57 AM