LIM (kiri) membimbing Taufiq (kanan) ketika mengucapkan dua kalimah syahadah pada Majlis Pengislaman di Pejabat MACMA Melaka, Bukit Baru, Melaka.
Salman Hamat

Melaka: “Boleh kata setiap hari pada waktu Subuh, dia datang seperti kejutkan saya supaya bangun bersolat. Pelik mengapa dia datang, sedangkan saya bukan orang Islam. Walaupun takut, saya seperti menunggu kehadiran lelaki itu kerana akan berasa tenang dan keadaan sekeliling menjadi nyaman.

“Dalam kejadian terbaru, lelaki berjubah putih itu datang dan gelagatnya seperti sedang menunaikan solat. Mungkin dia tahu, hari saya akan mengucapkan dua kalimah syahadah semakin dekat,” kata saudara baru yang hanya ingin dikenali sebagai Taufiq, 38.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas mengucapkan dua kalimah syahadah pada majlis pengislaman di pejabat Persatuan Cina Islam Malaysia (MACMA) Melaka, di sini, semalam.

Majlis Pengislaman Taufiq dan seorang lagi gadis berasal dari Sabah, dibimbing oleh Pengerusi MACMA Melaka Lim Jooi Soon dan disaksikan pegawai Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Usahawan itu berkata, kerana musykil dengan kehadiran jelmaan lelaki berjubah putih itu, dia bertanya kepada rakan namun menerima jawapan negatif apabila ada antara mereka mendakwa itu adalah belaan atau saka miliknya, malah tidak kurang menganggapnya sudah gila.

Berikutan sangsi, dia dengan bantuan rakan Muslim berjumpa seorang ustaz di sebuah masjid di negeri ini dan ketika itu, Taufiq mendapat jawapan memuaskan hati apabila dimaklumkan jelmaan itu mungkin hidayah atau petunjuk kepadanya untuk memeluk Islam.

“Sebenarnya, tiga tahun lalu saya melafazkan syahadah, tetapi tidak berdaftar secara rasmi. Memang bersemangat nak mendalami Islam, tetapi kehidupan saya terumbang-ambing kerana individu mengajak saya memeluk Islam tidak serius atau memberikan bimbingan sepatutnya.

“Bukan tawar hati untuk belajar mengenai Islam, tetapi saya sesat tidak tahu apa mahu buat sehinggalah berjumpa rakan yang sanggup membantu saya kembali ke jalan betul. Walaupun usianya jauh lebih muda daripada saya, pengetahuannya mengenai Islam agak luas.

“Berikutan itu, saya percaya jelmaan yang kerap muncul pada waktu Subuh dan perjumpaan kami (rakan), membuka semula jalan bagi saya untuk bergelar lelaki Muslim dan mengamalkan ajaran Islam sebenar,” katanya.

Katanya, setakat ini, dia memilih merahsiakan dulu status agama daripada pengetahuan keluarga bagi mengelakkan salah faham atau perasaan kurang senang hingga menjejaskan hubungan antara mereka.

Menurutnya, sebelum ini, dia juga menentang keras tindakan seorang ahli keluarganya yang memeluk Islam sebelum berkahwin dengan seorang wanita Muslim beberapa tahun lalu.

“Dulu memang saya tentang tindakan ahli keluarga itu hingga tidak bertegur sapa, tapi secara tiba-tiba hati saya pula yang terbuka untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Mungkin ini hidayah daripada Allah untuk saya,” katanya.

Sementara itu, rakannya Nur Firdaus Nazri, 23, berkata, dia hanya membantu memudahkan Taufiq memeluk Islam kerana kelihatan bersungguh-sungguh mahu bergelar Muslim sejati.

“Dia kerap mengajak saya menemaninya bermalam di rumah, ketika didatangi jelmaan lelaki berjubah putih itu, saya yang tidur di bilik berasingan turut berasa nyaman. Secara tidak sengaja Taufiq menceritakan perkara menimpanya kepada saya.

“Selepas berjumpa ustaz bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, saya terpanggil untuk bantu dia walaupun kami baru lima bulan berkenalan. Apa yang berlaku hari ini (semalam) ada hikmahnya kerana turut mendorong saya mendalami Islam secara lebih mendalam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 11:16 AM