MUHD Dinie Syazwi Abdullah
Nur Lela Zulkipli


Kuala Lumpur: Niat asalnya hanya mahu mencari kenalan di tempat kerja baru, namun tidak sangka tindakannya memuat naik gambar ketika bertugas menjadi tular sehingga menerima ribuan maklum balas positif dan membina.

Itu kisah Muhd Dinie Syazwi Abdullah, 30, yang bekerja sebagai tukang sapu sampah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Segamat, Johor sejak dua minggu lalu dan mendapat perhatian netizen selepas memuat naik gambarnya membersihkan persekitaran universiti itu.

Menurut Muhd Dinie yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, tidak timbul perasaan malu untuk berkongsi pekerjaan yang dilakukan seperti mengangkat sampah dan membersihkan longkang, malah baginya pekerjaan itu sangat mulia.

“Saya percaya tidak ramai sanggup bekerja sebagai tukang sapu sampah, apatah lagi ingin memuat naik di laman Facebook. Setakat ini saya sendiri tidak pernah melihat perkara itu terjadi.

“Sejujurnya, selepas bergelar tukang sapu sampah, hidup saya tenang dan tidak perlu memikirkan bebanan kerja yang banyak biarpun pulangan yang diperoleh tidak setinggi pekerjaan lain yang lebih selesa.

“Saya percaya selagi kita gembira melakukan sesuatu pekerjaan, kita akan lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik tanpa mengetepikan tugas hakiki sebagai umat Islam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Rabu lalu, kisah Muhd Dinie mula menjadi tular apabila netizen berkongsi aktiviti harian sebagai tukang sapu sampah sehingga mendapat lebih 10,000 perkongsian di laman Facebook.

Menurut Muhd Dinie yang juga bekas pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di ibu negara, keputusannya menjadi tukang sapu sampah juga bertujuan mengubah persepsi negatif masyarakat mengenai pekerjaan itu.

“Tiada apa yang memalukan dengan pekerjaan ini. Orang sekeliling juga lebih ramah apabila mereka mengenali siapa yang membersihkan persekitaran mereka dan hidup bebas daripada tekanan kerja.

“Kini, bukan saja saya dapat rakan baru di sini, malah rakan Facebook saya juga sudah melebihi had dan alhamdullilah, mereka semua memberikan saya kata-kata semangat untuk lebih berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 10:59 AM