SITI menoreh semula selepas dua tahun kebun getahnya tidak diusahakan di Kampung Ramuan Cina Besar, Lubok Cina.

Alor Gajah: Peningkatan harga getah sejak pertengahan bulan lalu turut mendorong seorang nenek yang juga bekas jururawat mengusahakan semula kebun miliknya seluas 0.4 hektar di Kampung Ramuan Cina Besar, Lubok Cina, di sini, bagi menambah pendapatan.

Warga emas, Siti Mat, 75, berkata, sudah dua tahun dia tidak mengusahakan kebun berkenaan namun mengambil keputusan kembali menoreh kerana tidak mahu melepaskan peluang menikmati harga jualan komoditi itu yang meningkat.

“Semasa harga getah jatuh RM1.70 satu kilogram (kg) beberapa tahun lalu, saya ambil keputusan untuk tidak menoreh kerana hasilnya tidak berbaloi dengan tenaga dikeluarkan.

“Ketika harga getah merudum, saya juga tidak upah orang untuk usahakannya kerana pada harga RM1.70 hingga RM1.90 sekilogram, tidak mungkin saya dapat untung kerana hasil jualan perlu dibahagi dua,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Siti yang pernah bertugas di Klinik Desa Lubok Cina berkata, dia membeli kebun berkenaan yang ketika itu sudah ditanam pokok getah berusia setahun pada 1986 dengan harga hanya RM14,000 daripada seorang penduduk.

Selepas berpisah dengan bekas suaminya pada 1990, Siti mengusahakan kebun berkenaan secara bersendirian untuk membesarkan tiga anaknya yang ketika itu masih bersekolah.

“Ketika itu anak sulung lelaki baru berusia tujuh tahun. Selepas pulang dari klinik pada waktu petang, saya ke kebun untuk menoreh manakala pada hari cuti hujung minggu, saya menjalankan aktiviti itu pada sebelah pagi.

“Hasil jualan komoditi itu digunakan untuk menambah pendapatan saya sebagai kakitangan kerajaan bagi membesarkan tiga anak hingga mereka tamat persekolahan,” katanya.

Sejak mula menoreh semula, bulan lalu, Siti sudah menikmati tiga kali hasil jualan getah beku yang harganya antara RM3.80 dan RM4.40 satu kg.

Pasaran harga getah di negara ini dijangka meningkat pada suku pertama tahun ini berikutan permintaan tinggi dari China selain penyusutan pengeluaran di Thailand akibat banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 11:15 AM