Mohd Hashim (kiri) menyerahkan surat pelantikan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya N03 Tanjong Datu, Sarawak, Hamsein Atardi.
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Petra Jaya: Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N 03 Tanjong Datu, Sarawak mempunyai tempoh selama 13 hari untuk berkempen sebelum menghadapinya pada Sabtu 18 Februari depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berharap peratusan keluar mengundi bagi PRK berkenaan mencapai 75 peratus atau lebih ramai pengundi yang menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Kita akan menggalakkan mereka untuk keluar mengundi kerana ia adalah sangat mustahak. Jadi, dari semasa ke semasa kita akan beri galakan ini dan menguar-uarkan mengenai perkara itu sepanjang tempoh kempen ini supaya mereka sedar kepentingan keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung PRK Tanjong Datu, Sarawak di Ibu Pejabat SPR di sini, semalam.

Kerusi DUN Tanjong Datu kosong susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Adenan Satem, 72, pada 11 Januari lalu di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan, Sarawak akibat komplikasi jantung, empat hari selepas menerima rawatan di hospital berkenaan.

Dalam Pilihan Raya Nergeri Ke-11 (PRN-11), Mei tahun lalu Adenan memperoleh kemenangan bergaya apabila memperoleh majoriti 5,892 undi menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan.

Adenan mendapat 6,360 undi berbanding Jazolkipli yang meraih 468 undi pada pilihan raya itu, sekali gus menyebabkan calon PKR terbabit hilang desposit.

Sementara itu, Mohd Hashim berkata, SPR menetapkan hari penamaan calon pada 4 Februari depan manakala tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 12 Februari.

Katanya, SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2016 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) sehingga suku kedua 2016 yang dikemas kini sehingga 11 Januari lalu.

Menurutnya, ia mengandungi 9,959 pemilih berdaftar membabitkan 9,771 pemilih biasa dan 188 pengundi awal yang terdiri daripada tentera dan pasangan serta polis/pasangan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 11:25 AM