Chukai: Seorang remaja mengaku menjadi budak suruhan kumpulan pengedar dadah di sekitar Kemaman semata-mata bagi mendapatkan upah pil kuda dan syabu bagi melepaskan ketagihannya.

Kegiatan remaja berusia 18 tahun dari Kampung Kijal dekat sini, terbongkar selepas dia ditahan di rumahnya oleh pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menjalankan Ops Sarang, semalam.

Remaja terbabit yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 ditahan selepas keluarganya tidak tahan dengan kegiatannya sebelum melaporkannya kepada AADK.

Remaja berkenaan antara 24 penagih dadah yang ditahan AADK pada operasi yang dijalankan di sekitar Kemaman.

Ketua Cawangan Penguatkuasaan AADK negeri Muhammad Ismail berkata, hasil ujian air kencing mendapati remaja itu positif methamphetamine.

Menurut beliau, ketika ditahan, remaja itu dalam keadaan khayal dan pihaknya membawanya ke pejabat AADK.

“Ibu bapa remaja itu meminta AADK menahannya di rumah kerana mereka tidak tahan dengan kegiatannya. Mereka bimbang sesuatu lebih buruk akan berlaku terhadap remaja itu dan keluarga mereka.

“Remaja itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan dia akan dihantar ke Pusat Serenti Dadah Remaja di Karangan, Kedah untuk menerima rawatan ketagihan,” katanya.

Muhammad berkata, Op Sarang memberi tumpuan markas penagih dadah melepaskan gian.

“Antara kawasan dikenal pasti ialah di Paya Berenjut, Chukai dan Kampung Chabang di Kerteh. Ujian air kencing terhadap semua yang ditahan positif Methamphetamine, syabu serta heroin,” katanya.

Menurutnya, penagih terbabit ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 6:57 AM