FOO gembira menerima kediaman baru selepas rumah lamanya musnah akibat banjir dua tahun lalu.
Muhamaad Razis Ismail


Kuala Krai: Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini bagi keluarga Foo Tiang Sai, 55, cukup bermakna kerana mereka dapat meraikannya di rumah baru yang dibina kerajaan selepas kediaman lama musnah akibat banjir pada 2014.

Sebelum ini, Foo terpaksa menyambutnya di rumah sewa selepas kediamannya di Guchil Baru dihanyutkan banjir.

Rumah Kekal Baharu (RKB) untuk mangsa banjir itu siap dibina pada Januari 2016 dan mula diduduki pada September 2016.

Foo berkata, sebelum ini, mereka sekeluarga terpaksa merayakannya di rumah sewa di Taman Sri Wali, Bukit Sireh.

“Selepas dua tahun menunggu, akhirnya kami dapat meraikan Tahun Baru Cina di rumah baru yang lebih selesa.

“Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Ditanya mengenai persiapan sambutan Tahun Baru Cina, Foo berkata, sambutan kali ini dibuat secara sederhana.

“Setakat ini persiapan berjalan seperti biasa. Namun kami tidak sabar untuk meraikannya di rumah baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 7:05 AM