ROSMAH (kiri) bersama tetamu pada majlis Penutupan Program Libatsama Komuniti-Universiti Teknologi [email protected]

Jelebu: Kerajaan tidak pernah jemu mengatur pelbagai program bagi meningkatkan kesejahteraan di luar bandar yang disifatkan sama penting dengan pembangunan bandar.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pembangunan seimbang di dua kawasan itu perlu dilaksanakan dalam menuju taraf negara maju.

Beliau berkata, semua pihak perlu membantu termasuk institusi pengajian tinggi yang bersama-sama memindahkan ilmu, kemahiran serta teknologi.

Katanya, di pihak kerajaan, pelbagai program diatur bagi meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial luar bandar antaranya Program Konsep Kampung Abad ke-21.

“Sebagai contoh Jelebu, kerajaan mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Gagu dan Felcra Lakai. Selain itu, Program Desa Lestari dan Inap Desa juga diwujudkan untuk meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya berucap di majlis Penutupan Program Libatsama Komuniti-Universiti Teknologi Malaysia (UTM)@NICE’ 17 di Kuala Klawang, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias, isteri Menteri Besar, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin dan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Wahid Omar.

Rosmah berkata, kerjasama strategik antara institusi akademik dan komuniti luar bandar adalah serampang dua mata yang boleh membangunkan kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 5:12 AM