DR Ahmad Yunus (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pengurus Besar PKNS Noraida Mohd Yusof sambil diperhatikan Dr Abd Halim di KUIS, semalam.
Mohd Nasif Badruddin


Bangi: Kerajaan negeri memperuntukkan dana RM5 juta setahun untuk Tabung Pendidikan Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, dana berkenaan sumbangan daripada anak syarikat kerajaan negeri bagi membiayai pengajian 352 pelajar peringkat diploma dan sarjana muda di KUIS.

“Dana ini digunakan untuk pembiayaan yuran pengajian, yuran penginapan dan wang saku bagi setiap penuntut yang mengambil program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat serta Sarjana Muda al-Quran dan al-Qiraat KUIS.

“Kerajaan negeri komited untuk menjadikan KUIS sebagai hab huffaz di Selangor yang melahirkan huffaz profesional,” katanya ketika berucap mewakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan Majlis Apresiasi Mahasiswa Tahfiz KUIS Bersama Kerajaan Negeri dan Pelancaran Fakulti Syariah dan Undang-Undang KUIS di sini, semalam.

Hadir sama Rektor KUIS Prof Datuk Dr Ab Halim Tamuri.

Dr Ahmad Yunus berkata, kerajaan negeri meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi memperkemaskan pengurusan imam di 412 masjid dan 2,000 surau di negeri itu.

Katanya, dengan adanya imam yang menghafal 30 juzuk al-Quran serta mahir dalam bidang pengurusan, institusi masjid dan surau dapat diperkasakan dengan program lebih berkesan yang menyumbang kepada pembangunan insan.

Menurutnya, penubuhan Fakulti Syariah dan Undang-Undang KUIS yang dinaik taraf daripada sebuah jabatan sebelum ini menunjukkan institusi itu bersedia menawarkan kursus berdaya saing dan premier dalam kelasnya.

“Setakat ini 1,200 pelajar belajar di fakulti ini dan kami berharap ia melahirkan lebih ramai profesional Muslim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 5:43 AM