Segamat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat penerbangan ihsan bagi memindahkan seorang daripada empat mangsa kemalangan jalan raya dari Hospital Daerah Segamat (HDS) ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, semalam.

Helikopter Agusta Westland Aw139 APMM dikendalikan Kapten Wan Najib Azrin Wan Nor Adib Zamal dan tiga anak kapal berlepas dari HDS jam 11 pagi membawa Zakiah Abdullah, 54, ke hospital angkatan tentera itu.

Zakiah yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbabit dalam kemalangan pada 17 Januari lalu dan mengalami kecederaan dalaman serta perlu mendapatkan rawatan terperinci di hospital berkenaan.

Menurut anak Zakiah, Norsyazana Zulkifli, 29, dia dan keluarga berterima kasih kepada APMM kerana sudi melakukan penerbangan ihsan bagi membolehkan ibunya membuat rawatan susulan di Kuala Lumpur.

Katanya, ibunya cedera serius di bahagian perut selain perlu menjalani pembedahan pergelangan tangan yang patah.

“Dua abang saya, Mohd Aizat Zulkifli, 32, dan Mohd Hafiz, 31, yang turut terbabit dalam kemalangan sama masih ditempatkan di HDS masing-masing akibat patah tulang paha dan retak tulang dada,” katanya ketika ditemui di pekarangan HDS, semalam.

Dalam kemalangan jam 3.30 petang, kereta dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari Kuala Dungun ke Segamat sebelum terbabas di Kilometer 134, Lebuhraya Segamat-Kuantan.

Kemalangan itu turut menyebabkan bapa mereka, Zulkifli Abdul Aziz, 60, maut akibat parah pada kepala dan badan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 6:37 AM
ZAKIAH dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan menaiki helikopter APMM, semalam.