Abdul Rosik (dua dari kiri) melihat barang di stor selepas majlis pelancaran Skim Kawalan Harga Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor di Pasaraya Segi Fresh, Telok Panglima Garang.

Kuala Langat: Peniaga yang didapati gagal mempamerkan tanda harga merah jambu terhadap 13 barangan kawalan yang dijual di bawah skim kawalan harga Tahun Baru Cina 2017 akan dikenakan kompaun.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Abdul Rosik Yakub berkata, tanda merah jambu itu bagi memastikan peniaga tidak menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum.

“Tanda ini dapat membezakan harga barangan terkawal malah peniaga digalakkan menjual barangan berkenaan pada harga lebih rendah jika harga diperoleh lebih murah,” katanya ditemui ketika melakukan tinjauan dan pemeriksaan di Pasar raya Segi Fresh Telok Panglima Garang di sini, semalam.

Sementara itu Abdul Rosik berkata, pihaknya berpuas hati apabila mendapati pasar raya itu menjual barangan pada harga lebih murah daripada harga skim kawalan harga.

Menurutnya, pemeriksaan seperti itu akan dijalankan setiap hari selama 12 hari bermula kelmarin.

“Pemeriksaan akan dilakukan secara berterusan setiap hari bagi memastikan peniaga tidak menjual barang terkawal melebihi harga yang ditetapkan.

“Peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memantau barangan yang bukan di bawah skim kawalan sepanjang musim perayaan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 5:01 AM