ZAHARIAH (kanan) bersama pelakon It Came from a Tin Mine menggaul hidangan yee sang selepas pelancaran filem itu di Mandarin Oriental Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: ‘It Came from a Tin Mine’ sebuah filem web sempena Tahun Baru Cina daripada Petronas mengangkat tema kekuatan persahabatan lima sahabat pelbagai kaum.

Filem berdurasi empat minit itu mengisahkan usaha lima sahabat untuk menangkap raja ikan di sebuah lombong biji timah yang menjadi legenda masyarakat Cina.

Semangat kerja berpasukan dan persahabatan jelas dipamerkan dalam cerita itu apabila pelbagai cara berserta adegan lucu dilakukan mereka dalam usaha memancing ikan sehingga berjaya.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abd Rahman berkata, filem itu adalah kesinambungan kempen perayaan bagi meraikan dan memberi penghormatan kepada pelbagai kaum di Malaysia.

“Filem ini mengandungi semangat keazaman dan ketabahan yang memberi inspirasi kepada semua orang supaya tidak berputus asa untuk mencapai hari esok yang lebih baik.

“Petronas berharap mesej perpaduan sosial dan kaum yang disampaikan mengikat dan menyatukan kita bersama sebagai rakyat negara ini,” katanya kepada media selepas pelancaran It Came From A Tin Mine, di sini, semalam.

Filem arahan Ismail Kamarul daripada syarikat produksi Reservoir World Sdn Bhd dibintangi Clement Eng Kai Yao, 13, sebagai pelakon utama selain turut dilakonkan Muzayyin Mahyuddin, 10, SV Sanjitha Devi, 10, Emille Jasmine, 10, dan Mohamad Hamyzan Ishan Johan, 10.

Penggambaran filem itu dibuat tiga hari di Bandar Seri Alam, Johor.

Filem itu boleh ditonton di laman www.petronasofficial.com bermula semalam manakala iklan selama 60 saat di televisyen bersiaran dari 25 Januari sehingga 5 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 5:45 AM