IDRIS memperkatakan sesuatu selepas mendengar taklimat lawatan kerja ASB di Sasana Kijang, Bank Negara.
Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menerokai potensi kerjasama dengan Asia School of Business, MIT Sloan Management (ASB) khususnya dalam memperkasakan serta meningkatkan kemudahan di semua universiti awam (UA).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, antaranya termasuk menyediakan kemudahan Makmal Inovasi sebagai ruang kreativiti untuk pelajar di UA seperti yang disediakan ASB.

Katanya, ASB ditubuhkan dengan kerjasama MIT Sloan sebagai institusi pengajian tinggi terkemuka dunia boleh dijadikan sebagai panduan dalam perkongsian idea untuk meningkatkan lagi pendidikan tinggi negara.

“ASB sebenarnya memilih lokasi yang strategik dengan membuka kampus di Malaysia dan kita sentiasa berusaha untuk memperkasakan pengajian tinggi melalui kerjasama dengan mereka.

“Kita juga tertarik dengan kemudahan Makmal Inovasi yang disediakan di sini, selain ASB turut dilihat sebagai institusi yang boleh memperkasakan keusahawanan dalam sektor pengajian tinggi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di ASB, semalam.

Terdahulu, Idris mengadakan pertemuan tertutup bersama Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim dan Timbalannya, Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Hadir sama, Presiden dan Dekan ASB, Prof Charles Fine.

ASB yang ditubuhkan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) mula beroperasi Ogos tahun lalu terdiri daripada 47 pelajar antarabangsa yang mengikuti pelbagai program Sarjana berdasarkan kurikulum sama yang dilaksanakan di MIT Sloan, Amerika Syarikat (AS).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 5:20 AM