SITI Azmah menemani dua anaknya  yang dirawat di Hospital Putrajaya sejak dua minggu lalu akibat keracunan makanan selepas makan bubur ayam yang dibeli di pasar malam di Putrajaya pada 13 Januari lalu.
SITI Azmah menemani dua anaknya yang dirawat di Hospital Putrajaya sejak dua minggu lalu akibat keracunan makanan selepas makan bubur ayam yang dibeli di pasar malam di Putrajaya pada 13 Januari lalu.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Dua beradik masing-masing berusia empat dan dua tahun dimasukkan ke Hospital Putrajaya sejak dua minggu lalu akibat keracunan makanan selepas makan bubur ayam yang dibeli bapa mereka di pasar malam, pada 13 Januari lalu.

Kanak-kanak berkenaan, Ahmad Hanif, 4, dan Ameer Harith Hasbullah, 2, mengalami muntah teruk dan cirit-birit selepas makan bubur ayam berkenaan sebelum dikejarkan ke hospital.

Kelmarin, doktor terpaksa mengambil air tulang sumsum kanak-kanak berkenaan bagi mengenal pasti jenis bakteria yang menyerang mereka.

Ibu kanak-kanak itu, Siti Azmah Ahmad, 34, berkata, proses mengambil air tulang sumsum terpaksa dilakukan bagi membolehkan rawatan antibiotik sesuai diberikan kepada anaknya.

Menurutnya, anaknya sudah mengalami demam sejak dua minggu lalu akibat keracunan makanan berkenaan.

“Rawatan antibiotik itu penting bagi memastikan bakteria tidak menyerang organ dan otak anak saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya di sini kelmarin.

Katanya, selain anak, suaminya, Hasbullah Awang, 34, turut mengalami cirit-birit dan muntah teruk selepas makan bubur ayam yang sama sehingga terpaksa mengambil cuti rehat selama seminggu.

Siti Azmah yang juga Pembantu Pembangunan Masyarakat di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkata, dia difahamkan, ada lebih 10 kes keracunan makanan akibat makan bubur ayam yang dibeli di pasar malam berkenaan pada hari sama.

Katanya, dia sudah membuat aduan kepada Jabatan Kesihatan bagi melaporkan tindakan peniaga bubur ayam berkenaan yang menjual makanan tercemar.

“Saya juga dimaklumkan Jabatan Kesihatan sudah memeriksa rumah peniaga berkenaan di Gombak dan mendapati peniaga itu mengabaikan aspek kesihatan dalam mengendalikan bahan mentah termasuk ayam,” katanya.

Katanya, dia juga mahu Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil tindakan terhadap peniaga itu kerana mengabaikan aspek kesihatan dalam mengendalikan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 8:35 AM