ANGGOTA paramedik membawa mangsa ke hospital.
ANGGOTA paramedik membawa mangsa ke hospital.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 11.8 Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa, Sarjan Mejar Mohd Ehwan Agus, 57, yang bertugas di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya ke tempat kerja.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Kamaludin Mohamad berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Wira Aeroback dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun dipercayai mengubah laluan dari kanan ke kiri secara tiba-tiba.

“Mangsa yang tidak sempat mengelak melanggar kereta itu di bahagian tepi sebelum terjatuh dan terseret di antara susur sebelah kiri dengan laluan utama.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital berkenaan, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Kamaludin berkata, pemandu kereta Proton Wira Aeroback itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kami sudah mengambil keterangan pemandu kereta Proton Wira Aeroback berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 8:53 AM
Kabinet Malaysia 2020