HARGA ikan sardin yang dijual di Pasar Chow Kit mencecah RM10 sekilogram.
Siti Fatimah Hassan


Kuala Lumpur: Kenaikan harga barang basah terutama ikan bukan hanya menyebabkan kebanyakan pengguna berpendapatan rendah terjejas teruk, malah terpaksa mencari alternatif lain memandangkan ikan sardin (selayang) yang paling biasa dinikmati turut melambung harganya kepada RM10 sekilogram.

Selain sardin, beberapa jenis ikan lain dikatakan turut naik sekitar RM1 berikutan kekurangan bekalan ikan ketika musim tengkujuh yang berlaku ketika ini.

Seorang peniaga di Pasar Chow Kit, Rekad Samsul, 34, berkata situasi itu dilihat mungkin berlarutan dalam tempoh seminggu lagi sebelum harga ikan kembali normal.

Katanya, ia adalah fenomena biasa disebabkan gangguan bekalan ikan kepada pengguna, tetapi tidak akan berlarutan terlalu lama.

“Melihat kepada keadaan sekarang, harga ikan mungkin akan kembali normal dalam masa seminggu lagi. Memang saya akui harga barang basah agak mahal ketika ini tetapi jika dibandingkan keadaan tahun lalu, kali ini lebih baik.

“Peniaga juga sebenarnya runsing dengan kekurangan bekalan tetapi ia adalah keadaan biasa yang perlu dilalui setiap tahun sepanjang musim tengkujuh, namun situasi kembali normal selepas ini,” katanya.

Katanya, tidak dinafikan ia juga menjejaskan perniagaan barang basah di pasar terbabit apabila bilangan pelanggan tidak ramai disebabkan kenaikan harga ikan yang mendadak.

“Kami perlu ke pasar borong lebih awal berbanding biasa untuk mendapatkan bekalan ikan bagi memastikan ia dijual di sini. Kami semua memang faham dan biasa dengan situasi ini setiap tahun,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Pasar Chow Kit pagi semalam mendapati harga barangan basah seperti ikan cencaru dijual pada harga RM12 sekilogram, bawal hitam RM22 (kg), kembung RM12 (kg), tongkol RM9 (kg) selain sotong sederhana dijual pada harga RM32 (kg) dan udang sederhana RM35 (kg).

Sementara itu, seorang pesara, Jalal Abidin Majid, 60, berkata, dia terbeban dengan kenaikan harga ikan ketika musim tengkujuh ini dan perbezaan harga amat ketara hingga mencecah sekitar RM5 hingga RM6 sekilogram.

Katanya, sebagai pengguna, dia memahami keadaan yang berlaku dan mengambil langkah sepatutnya untuk menjimatkan perbelanjaan dapur dengan membeli lebih banyak sayuran kerana ia lebih murah.

“Saya memang lebih gemar membeli barang dapur di sini kerana barangan lebih murah, tetapi sejak musim tengkujuh ini kenaikan harga ikan amat ketara. Memang agak terasa terutama dalam memperuntukkan perbelanjaan dapur.

“Bagi mengurangkan perbelanjaan, saya dan keluarga di rumah lebihkan pengambilan sayur dan telur sebagai alternatif lain. Namun, diharap harga kembali seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 10:23 AM