Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak satu mekanisme kawalan harga kelapa dapat diwujudkan bagi mengatasi kekurangan bekalan berkenaan ketika Thaipusam.

Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow berkata, mekanisme itu perlu diwujudkan bagi mengatasi kekurangan kelapa serta mengawal harga bekalan berkenaan.

Beliau berkata, harga bagi setiap biji kelapa yang dijual di pasaran sekitar RM1.80 sebiji dan kini mencecah hingga RM2.50 hingga RM2.70 sebiji.

Katanya, pasar basah di negeri itu mula menaikkan harga berikutan bekalan yang diperoleh terhad dan tidak mustahil harga bagi sebiji kelapa boleh mencecah lebih RM3 sebiji.

Menurutnya, pihaknya mendesak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil tindakan sewajarnya supaya kawalan harga dapat dilakukan selain mengelak berlaku kenaikan harga secara mendadak.

“Kami ingin menyeru kepada penganut Hindu yang bakal meraikan sambutan Thaipusam dalam upacara memecah kelapa juga dapat melakukan penjimatan berikutan kenaikan harga buah kelapa.

“Kami menyarankan upacara memecah kelapa yang menjadi tradisi setiap kali Thaipusam dikurangkan berikutan bekalan kelapa yang diperoleh tidak mencukupi berbanding tahun sebelumnya.

“Setiap orang boleh memecahkan sebiji kelapa saja dan ia sudah memadai kerana upacara itu hanya sekadar adat semata-mata bukannya satu kemestian hingga berlaku pembaziran,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Subbarow berkata, tahun lalu, lebih sejuta kelapa digunakan di seluruh negara dan dianggarkan kira-kira 500,000 biji digunakan di seluruh Pulau Pinang dan pada tahun ini pembekal hanya menganggarkan hanya dapat membekalkan 300,000 hingga 400,000 kelapa saja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 10:39 AM
SUBBAROW menunjukkan kelapa pada sidang media di Anba Coconut, Jalan Rangoon, semalam.