HARGA kelapa tidak stabil sejak musim tengkujuh lalu.
Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Masalah kenaikan harga kelapa dijangka berterusan menjelang perayaan Thaipusam 9 Februari ini berikutan sikap segelintir orang tengah atau pemborong yang mengambil kesempatan mengenakan harga melampau sejak masalah bekalan bahan itu November lalu.

Tinjauan Harian Metro ke beberapa pasar sekitar Lembah Klang mendapati harga kelapa mengalami kenaikan sehingga 80 sen dan kini dijual pada harga RM2.20 sebiji berbanding RM1.60 sebelum ini.

Peniaga kelapa dan santan Halimah Wahab, 51, berkata, dia berdepan harga tidak stabil bagi tanaman itu sejak musim tengkujuh lalu dan dijangka lebih mahal sempena perayaan Thaipusam.

“Setiap hari berubah, pemborong mengenakan alasan banjir dan stok berkurangan selain mendakwa harga kelapa menjadi mahal kerana sesetengah negeri lain seperti pantai timur menjualnya lebih tinggi.

“Kelapa dihantar kepada kami bukan dari pantai timur, tetapi diambil dari Indonesia dan harga dijual kepada kami mahal seperti di negeri itu.

“Sejak November lalu, harga kelapa mencanak naik sehingga 80 sen dan sekarang untuk sebiji kelapa kami kena bayar RM2.10 atau 2.20,” katanya.

Lebih kesal lagi, beliau mendakwa pemborong menetapkan harga sama untuk semua jenis saiz dan tidak lagi menggantikan kelapa yang rosak.

Seorang lagi peniaga santan Johari Hamid, 54, berkata sejak kelmarin dia hanya menerima 600 biji kelapa berbanding 1,000 biji sebelum ini dan turut dimaklumkan pemborong bekalan itu akan berkurangan sehingga Thaipusam.

Katanya, bagi mendapatkan sekilogram santan, hampir empat biji kelapa diperlukan menyebabkan kos penghasilan turut meningkat.

“Harga santan sekilogram ditetapkan pada harga siling RM8, namun jika dapat harga kelapa lebih murah kami menjual santan RM7 hingga RM7.50 sekilogram,” katanya.

Johari berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melihat masalah dihadapi peniaga santan yang berdepan kekurangan bekalan kelapa dan kos operasi yang semakin meningkat sebelum melarang kenaikan harga santan.

“Bayangkan kos bagi menghasilkan sekilogram santan pun mencecah RM9, tidak termasuk kos upah pekerja, kos elektrik mesin santan, kos plastik dan pembungkusan.

“Pengusaha santan bukan tamak sehingga mahu menaikkan harga sesuka hati, tetapi lebih kepada margin kos operasi yang semakin meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 10:16 AM