ANGGOTA Unit Forensik melakukan siasatan di rumah teres di Taman Seri Krubong.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seorang lelaki warga Myanmar maut dibunuh kejam dipercayai akibat pergaduhan dengan rakan serumah dalam satu kejadian di rumah teres setingkat di Taman Seri Krubong, di sini, kelmarin.

Mayat mangsa yang ditemui terbaring di hadapan rumah itu ditemui dengan kesan tikaman pada bahagian kiri bawah perut dipercayai akibat tikaman pisau.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adziz Shaikh Abdullah berkata, polis menerima aduan orang awam pada jam 11.30 malam mengenai pergaduhan dua rakan serumah, di situ.

Beliau berkata, polis dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa berusia 22 tahun terbaring di ruang hadapan rumah dalam kawasan berpagar.

“Kami belum dapat pastikan berapa suspek terbabit dalam kes ini, namun siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bergaduh dengan seorang rakan serumah, namun tiada seorang pun kami temui dalam rumah ini melainkan mangsa yang terbaring berlumuran darah.

“Siasatan dalam rumah menjumpai pisau dapur sepanjang 0.15 meter di tempat kejadian dipercayai digunakan ketika pergelutan,” kata Shaikh Abdul Adziz ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tinjauan Harian Metro mendapati, Jabatan Forensik PDRM melakukan siasatan dan mengumpul bukti termasuk peralatan dapur lain seperti mangkuk tingkat untuk mendapatkan kesan cap jari.

Shaikh Abdul Adziz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 6:51 AM