MUHAMMAD Malikie bersama ibunya, Hasiah menunjukkan surat keterangan kelahiran di Indonesia.
MUHAMMAD Malikie bersama ibunya, Hasiah menunjukkan surat keterangan kelahiran di Indonesia.

Hulu Terengganu: Seorang kanak-kanak dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bukit Ara, di sini, kini amat mengharapkan agar dapat ke sekolah semula selepas dua tahun gagal berbuat demikian berikutan menghadapi masalah berkaitan dengan sijil kelahirannya.

“Saya teringin sangat untuk kembali ke sekolah seperti yang pernah saya rasai dari tahun satu hingga tahun tiga tetapi bergantung kepada usaha ibu untuk mendapatkan sijil kelahiran bagi membolehkan bersekolah,” kata Muhammad Malikie Shamsul Rizal, 11.

Menurutnya, dia hanya dapat merasai alam persekolahan selama tiga tahun kerana ketiadaan dokumen pengenalan dirinya menyebabkan dia sudah dua tahun terpaksa menamatkan alam persekolahan.

Katanya, dia berharap ibunya dapat memikirkan jalan untuknya mendapatkan sijil kelahiran dan berharap pihak berkaitan dapat membantu dirinya untuk memperoleh dokumen terbabit.

Hasiah Ismail, 41, pula berkata, anaknya kelimanya itu dilahirkan di Indonesia hasil perkongsian hidup dengan arwah suaminya Shamsul Rizal Ismail, yang berasal dari Pulau Pinang.

“Malangnya ketika kami sekeluarga menetap di Indonesia saya hanya membuat surat keterangan kelahiran dan tidak memaklumkan kepada pihak konsulat mengenai kelahirannya itu.

“Saya akui ia satu kesilapan yang saya lakukan hingga menjejas pembelajaran anak berikutan tiada sijil kelahiran, katanya.

Menurutnya, arwah suaminya ketika itu bekerja dalam sektor pembalakan dan mereka menetap di Pekan Baru, Indonesia dari 2004 hingga akhir 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 6:30 AM