KESHNI ditemani ibu bapanya, T Thaiyalan dan Mohanadevi di Hospital Gleneagles Ampang.

Kuala Lumpur: “Saya sudah kehilangan tiga anak akibat penyakit berlainan sebelum ini dan tidak mahu perkara sama berulang lagi.

“Sebab itu saya berharap pembedahan dapat dilakukan segera kerana keadaannya semakin teruk,” kata M Mohanadevi, 41.

Mohanadevi ibu kepada bayi perempuan, T Keshni berusia 29 hari yang menghidap jantung berlubang dan Duktus Arteriosus Terbuka (PDA) yang kini dirawat di Hospital Gleneagles, di sini.

Pembedahan ke atas bayi itu perlu dilakukan segera bagi menyelamatkan nyawanya, tetapi kos yang dianggarkan mencecah RM35,000 menyebabkan ia tertangguh hingga kini.

Katanya, dia tidak menyangka anaknya menghidap penyakit itu kerana pada peringkat awal Hospital Assunta hanya mengesan kelainan pada degupan jantungnya dan menjangka masalah itu bersifat sementara.

“Namun, ia makin berlarutan dan semakin teruk pada usia seminggu mendorong hospital mendapatkan bantuan pakar jantung dari hospital ini (Hospital Gleneagles) membuat pemeriksaan ke atasnya.

“Doktor memberitahu anak menghidap dua penyakit berkenaan dan perlu menjalani pembedahan segera atau saya kehilangan anak (meninggal dunia),” katanya kepada Harian Metro.

Pembantu Hospital Assunta itu berkata, dia trauma dengan pengalaman kehilangan tiga anak sebelum ini dan mahu memastikan anaknya mendapatkan rawatan berkenaan meskipun menyedari kekangan kewangan dihadapi.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Tabung Kemanusiaan Media Prima NSTP 5141 0532 3170 (Maybank) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 0327148977 untuk sebarang pertanyaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 7:36 AM