SEBAHAGIAN wanita warga asing yang diselamatkan imigresen dalam Op Ikrar, kelmarin.
SEBAHAGIAN wanita warga asing yang diselamatkan imigresen dalam Op Ikrar, kelmarin.

Georgetown: Mereka lebih dikenali sebagai pelacur ‘mata biru’ kerana memiliki bebola mata berwarna selain putih dan cantik yang menjadi idaman lelaki untuk melampiaskan nafsu.

Walaupun caj dikenakan agak mahal bermula RM240 hingga mencecah RM350 untuk sekali perkhidmatan seks golongan pelacur warga Uzbekistan dan Kazakhstan tetap menjadi rebutan pelanggan.

Difahamkan, pelacur terbabit ditempatkan di sebuah pangsapuri oleh sindiket yang kemudian menjalankan urusan perniagaan mereka melalui aplikasi WeChat.

Bagaimanapun, kumpulan pelacur itu diselamatkan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang yang melakukan serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Burma, di sini, malam kelmarin.

Dalam Op Ikrar selama tiga jam bermula 10.30 malam itu, seramai 19 wanita berusia antara 17 hingga 38 tahun diselamatkan anggota imigresen yang melakukan risikan selain menerima maklumat awam.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Khwaja Banthey Navaz Mohamad Haneef berkata, seramai 16 anggota terbabit dalam operasi itu dan menyelamatkan semua wanita terbabit

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, 19 wanita dijadikan pelacur masing-masing terdiri daripada 16 warga Uzbekistan, Kazakhstan (seorang) dan Vietnam (2).

“Kami turut menahan tiga lelaki tempatan dipercayai bapa ayam dan merampas dua kenderaan iaitu Mercedes serta Proton Exora yang digunakan untuk menjalankan aktiviti haram berkenaan.

“Selain itu, kami turut merampas wang tunai RM12,629 dipercayai hasil kutipan aktiviti pelacuran berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 8:13 AM