ANTARA yang dicekup dalam gerakan dilakukan AADK, semalam.
Fardy Bungga


Brickfields: Tidak sayangkan nyawa bayi dalam kandungan. Itu tindakan gila seorang wanita sarat mengandung lapan bulan yang masih menagih dadah syabu saban hari.

Biarpun menyedari dadah diambil itu boleh mendatangkan risiko kecacatan otak kepada bayi berkenaan namun wanita berusia 30 tahun itu mendakwa tidak dapat meninggalkan ketagihan dadah.

Penagih dadah wanita itu bagaimanapun diberkas dalam operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar Pantai Dalam di sini, jam 11 malam kelmarin.

Difahamkan wanita terbabit yang turut mempunyai tiga anak kecil dikesan baru menagih dadah itu di rumahnya.

Serbuan itu dilakukan berdasarkan maklumat awam yang mendapati rumah wanita itu sering dijadikan ‘markas’ pertemuan penagih dadah.

Ketika ditahan, wanita berusia 30 tahun itu merayu dilepaskan dengan alasan akan melahirkan anak keempatnya hujung Februari ini.

Pengarah AADK Kuala Lumpur Tengku Hanizar Tengku Awang berkata, wanita itu antara tiga individu berusia 21 hingga 30 tahun yang berjaya ditahan dalam operasi Ops Cegah di sekitar daerah ini.

Katanya, wanita itu yang disoal siasat mengaku menagih dadah jenis syabu selepas terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan yang sering melepak di rumahnya.

“Dia juga memberitahu tidak mampu untuk menjaga tiga anaknya yang kini tinggal bersama ibu kandung di rumah berasingan.

“Wanita itu mengaku sanggup menjadikan rumahnya sebagai tempat selamat untuk dia dan rakannya menagih dadah,” katanya.

Menurutnya, pihak AADK bercadang menghantar wanita itu ke pusat pemulihan bagi mendapatkan rawatan pemulihan dadah.

Sementara itu, Tengku Hanizar berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya berjaya menahan seramai 250 penagih dadah di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu kota.

Katanya, tangkapan ini dikenal pasti dapat menyelesaikan lebih 49 peratus masalah penagihan dadah di kawasan PPR.

“Manakala sejak Januari lalu, AADK Kuala Lumpur sudah menahan 24 penagih dadah. Operasi ini akan diteruskan dalam usaha memerangi dadah habis-habisan.

“Sebelum ini operasi kerap dilaksanakan di kawasan ‘port’ terbuka. Bagaimanapun, pada masa ini AADK lebih menumpukan serbuan di rumah yang dijadikan tempat penagihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 9:32 AM