SHARIFAH Khasif menawarkan pakej membaca al-Quran di awan biru.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Mengaji al-Quran di awan biru. Itu pakej ditawarkan sebuah syarikat penerbangan yang menampilkan kelainan bagi mendekatkan golongan jutawan kepada Allah SWT.

Kelas mengaji al-Quran dalam jet mewah yang dikendalikan johan qariah Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman itu hangat diperkatakan netizen di media sosial.

Lebih menarik perhatian apabila orang ramai terkejut dengan caj yang dikenakan hampir mencecah AS$7,500 (RM33,400) seorang bagi sejam penerbangan pada setiap Ahad manakala RM2,000 untuk mengaji di dalam jet tanpa diterbangkan ke mana-mana.

Ketua Pegawai Eksekutif Elite Jets Sdn Bhd Hani Salman Ahmad bersama rakan kongsinya Sharifah Khasif berkata, kelas itu bertujuan mempromosikan pesawat peribadi selain mahu pelanggan Elite Jets mendapat pengalaman bermakna dengan membaca al-Quran di awan biru.

“Mereka yang tidak mahu mengambil pakej penerbangan boleh memilih pakej belajar di dalam jet saja tanpa perlu terbang,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, program itu disediakan khusus untuk mereka yang berkemampuan atau jutawan bagi mendekatkan diri dengan al-Quran.

“Sama saja seperti pakej umrah bersama selebriti yang ada sekarang. Contohnya, umrah bersama ustaz tersohor dengan bayaran pakej RM10,000,” katanya.

Menurutnya, pengajian bersama Sharifah Khasif percuma dan hanya dikenakan bayaran menyewa jet peribadi itu.

“Kos untuk menyewa jet peribadi mahal dan caj operasi setiap satu jam mencecah AS$5,000 (RM22,245) bagi kos minyak, permit, insurans dan kos penyelenggaraan.

“Kami beri pelanggan pengajian al-Quran percuma walaupun sekejap, tapi ilmu yang dimiliki lebih berharga dan tiada ternilai dan sebenarnya al-Quran kalamullah harus diangkat tinggi martabatnya di mana jua dan di mana saja,” katanya dipetik dalam Facebook Sharifah Khasif.

Menurutnya, ada sesetengah mereka sukar belajar al-Quran di tempat biasa dan perkhidmatan itu disediakan bagi memberi privasi serta pengalaman berada dalam pesawat peribadi.

“Setakat ini, kami menerima 100 pertanyaan. Ia bukan kerana wang disebabkan Sharifah Khasif juga mengajar golongan miskin secara percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 8:46 AM